Isnin, 15 April 2019 | 4:08pm
ADLY (tengah) meluangkan masa melawat bayi, Ainul Mardhiah yang menghidap kanser pada mulut atau ‘Germ Cell Tumor’ selepas Majlis Santuni Cahaya Mata Bandaraya sempena sambutan ulang tahun ke-16 Bandaraya Melaka Bersejarah di Hospital Melaka. - Foto Khairunisah Lokman

KM Melaka kongsi penderitaan Ainul Mardhiah

MELAKA: Penderitaan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap ketumbuhan Germ Cell Tumor di bahagian mulutnya mendapat perhatian Ketua Menteri, Adly Zahari.

Adly yang sebelum itu mengadakan lawatan di Hospital Melaka, di sini, hari ini, pada Majlis Santuni Cahaya Mata Bandaraya 2019 bersempena Ulang Tahun Ke-16 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), dilihat meluangkan masa kira-kira 10 minit bagi bertemu ahli keluarga untuk mengetahui perkembangan kesihatan bayi berkenaan.

“Saya berkesempatan melawat seorang bayi yang menghidap tumor atau ketumbuhan pada bahagian mulutnya. Saya percaya, keluarga bayi ini sedang menghadapi cabaran besar, di mana pada peringkat ini pihak hospital sedang melakukan proses rawatan kemoterapi.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita akan sentiasa mencari jalan, termasuk melihat dari segi kemampuan (kewangan) apa yang boleh dibantu,” katanya.

Terdahulu, Adly sempat melawat serta menyampaikan sumbangan kepada tiga bayi yang baharu dilahirkan di Hospital Melaka sebagai simbolik sempena Ulang Tahun ke-16 MBMB, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong; Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Mansor Sudin dan Pengarah Hospital Melaka, Dr Hatijar Mohd Tan.

Adly berkata, beliau difahamkan pihak hospital sebelum ini sudah melakukan pembedahan buat kali pertama bagi membuang tumor di bahagian mulut bayi berkenaan tetapi sel ketumbuhan itu masih ada sebelum beralih kepada rawatan kemoterapi.

Ditanya mengenai bantuan yang boleh disalurkan kepada ahli keluarga Ainul Mardhiah, Adly berkata, pihaknya akan melihat keperluan itu dari semasa ke semasa termasuk bantuan perubatan bagi bayi berkenaan.

NSTP pada 10 April lalu melaporkan mengenai kisah nasib bayi perempuan, Ainul Mardhiah yang menghidap kanser Germ Cell Tumor sejak dilahirkan.

Bapa bayi berkenaan, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dipetik sebagai berkata, Ainul Mardhiah dilahirkan ketika isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 24, sedang mengandung tujuh bulan dan lahir dalam keadaan sudah menghidap kanser itu.

Katanya, pembedahan pertama Ainul Mardhiah bagi membuang ketumbuhan di mulut dilakukan Hospital Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pada Oktober lalu, mereka dimaklumkan ada ketumbuhan baharu di leher bayi itu sebelum disarankan menjalani kemoterapi, pada Disember lalu.

Berita Harian X