Isnin, 15 April 2019 | 5:21pm
SIVARASA (dua, kanan) menyampaikan Sijil Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Pengerusi MPKK Paya Resak, Mustafa Yaakob (dua, kiri) pada perasmian Sesi Interaksi Pemimpin Bersama MPKK Terengganu di sebuah hotel. - Foto Bernama
SIVARASA (dua, kanan) menyampaikan Sijil Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Pengerusi MPKK Paya Resak, Mustafa Yaakob (dua, kiri) pada perasmian Sesi Interaksi Pemimpin Bersama MPKK Terengganu di sebuah hotel. - Foto Bernama

Tiada daerah miskin di Terengganu

KUALA NERUS: Terengganu yang pernah disenaraikan sebagai antara negeri termiskin di negara ini, kini tidak lagi tersenarai sebagai negeri yang mempunyai daerah miskin.

Timbalan Menterinya, R Sivarasa, berkata kementerian mengenal pasti 28 daerah miskin di seluruh negara iaitu di Kelantan, Kedah serta Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, Terengganu tidak termasuk dalam senarai yang mempunyai daerah miskin, berbanding negeri jiran iaitu Kelantan, yang dikenal pasti mempunyai tujuh daerah dikategorikan miskin.

“Tumpuan bagi pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi untuk mengeluarkan 28 daerah itu daripada terus berada di bawah paras kemiskinan sedang dilakukan,” katanya selepas merasmikan Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) peringkat negeri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, antara program akan dilaksanakan kerajaan merangkumi pembangunan infrastruktur, peningkatan pendapatan dan pendidikan bagi mengeluarkan daerah berkenaan daripada senarai miskin.

“Kementerian akan memberi perhatian untuk menyalurkan bantuan selain bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan berkaitan dalam meningkatkan taraf sosial serta ekonomi penduduk,” katanya.

Katanya, antara program dan penekanan utama diberikan ialah pendidikan seperti sasaran ditetapkan kementerian iaitu 67 peratus anak-anak luar bandar daripada keluarga B40 ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Mengulas mengenai geran bantuan kepada MPKK, Sivarasa berkata, kerajaan Persekutuan menyediakan geran berjumlah RM10,000 setahun kepada semua MPKK untuk mengadakan pelbagai program kemasyarakatan.

Katanya, setakat ini, 277 daripada keseluruhan 15,441 MPKK di seluruh negara sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan geran berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X