Selasa, 16 April 2019 | 12:38pm
PELAJAR Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Muhammad Fadhlan Safee (kiri) dan Muhamad Ilham Hakimi Abd Sukor bersama inovasi alat menangkap ular 'Snake Shock Stick' yang dicipta. - Foto Mohd Rafi Mamat

Pelajar POLISAS cipta alat tangkap ular

KUANTAN: Dua penuntut Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) Pahang mencipta alat menangkap ular menggunakan kuasa elektrik, dinamakan ‘Snake Shock Stick’.

Alat berkenaan yang mengalirkan kuasa elektrik 3.7 voltan dihasilkan daripada bateri, bertujuan melemahkan ular apabila disepit.

Muhammad Fadhlan Safee, 21, dan Muhamad Ilham Hakimi Abd Sukor, 22, mengambil masa hampir sebulan untuk menghasilkan alat terbabit yang dibahagikan kepada tiga komponen utama.

Fadhlan berkata, alat berharga RM150 itu mudah digunakan dan sesuai untuk menangkap ular bersaiz sederhana besar dan berbisa seperti tedung selar, kapak, sawa dan senduk.

“Penyepit yang boleh laras pada hujung batang bertindak sebagai pemegang badan ular bagi mengelakkan reptilia itu bertindak agresif serta menyerang.

“Selepas disepit, dua jarum yang berada di hujung galah akan mengalirkan arus elektrik dan melemahkan reptilia dalam masa beberapa saat sahaja,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, kotak suiz yang turut menempatkan bateri, berfungsi mengawal aliran arus elektrik dan selamat untuk digunakan.

Menurut pelajar tahun akhir Diploma Elektrik dan Elektronik itu, mereka sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menghasilkan alat terbabit pada skala besar.

Sementara itu, Muhamad Ilham Hakimi berkata, walaupun gagal meraih kejayaan pada Program Inovasi, Pelancaran Produk dan Keusahawanan (INNOPLEN) 2019 peringkat kebangsaan di POLISAS baru-baru ini, apa yang penting mereka dapat memperkenalkan inovasi baharu.

“Saya berpuas hati apabila ramai pengunjung singgah di gerai kami untuk melihat dan mendapatkan penerangan mengenai inovasi ini yang dianggap menarik dan berkesan untuk menangkap ular berbisa.

“Suatu hari nanti, kami berharap alat berkenaan dapat digunakan oleh JBPM dan APM bagi menangkap ular berbisa, terutama selepas penambahbaikan dilakukan,” katanya yang bercita-cita menghasilkan lebih banyak inovasi.

Berita Harian X