Selasa, 16 April 2019 | 7:59pm
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man. - Foto Azhar Ramli
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man. - Foto Azhar Ramli

Prasarana asas penting tarik pelabur asing - MB Perlis

KANGAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini diberitahu kerajaan negeri perlu menyiapkan prasarana termasuk meningkatkan perkhidmatan dan kualiti air untuk menarik pelabur asing melabur di Kawasan Pembangunan Industri Lembah Chuping (CVIA).

Sehubungan itu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana meluluskan perancangan yang dibuat di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) setelah membuat kajian semula.

“Kita (kerajaan negeri) telah memberi taklimat kepada 11 syarikat yang berminat melabur di CVIA dan menawarkan insentif kepada mereka seperti pengurangan premium harga tanah selain insentif oleh Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA).

“Kerajaan Pusat juga meluluskan RM90 juta untuk meningkatkan sistem bekalan air terawat dan akan digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat dan pelabur,” katanya menjawab soalan Datuk Ismail Kassim (Bebas-Tambun Tulang) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri bagi menarik pelabur ke Perlis.

Azlan berkata kerajaan negeri telah merangka projek infrastruktur sebagai jaringan sistem pengangkutan dan perhubungan untuk meningkatkan keselesaan menjalankan perniagaan seperti Jeti Sanglang, Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu (Kangar Sentral).

“Kita sentiasa berusaha meletakkan Perlis dalam radar pelabur dan sebab itu kerajaan negeri aktif menyertai sesi networking yang dianjurkan oleh MIDA dan NCIA (Agensi Pelaksana Koridor Utara) dan IMT-GT (Segi tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand) selain mewujudkan portal pelaburan Perlis,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan yang meluluskan RM900 juta kepada Majlis Amanah Rakyat bagi membina Universiti Kuala Lumpur iaitu Asian Sustainable Institute (UniKL-ASTI) di Padang Besar pada akhir tahun ini akan menyokong pembangunan CVIA dan PIP.

Menjawab pertanyaan Asrul Nizan Abdul Jalil (PH-Sena) sama ada kerajaan negeri mahu ‘memutihkan’ Padang Besar daripada peniaga asing, Azlan berkata tindakan itu tidak boleh dilaksanakan jika mereka memiliki dokumen yang mematuhi undang-undang negara.

Azlan berkata masalah peniaga asing terutama dari Thailand yang memonopoli Arked Niaga di Padang Besar boleh diatasi jika pemilik sebenar lot perniagaan tidak menyewakannya kepada mereka. - BERNAMA

Berita Harian X