Selasa, 16 April 2019 | 8:14pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) bertemu dengan penerjun dari Pasukan 69 Komando selepas Majlis Pra-pelancaran Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 yang akan berlangsung dari Oktober 22 sehingga 2 November di Pengkalan Latihan Unit Udara Polis. - Foto NSTP
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) bertemu dengan penerjun dari Pasukan 69 Komando selepas Majlis Pra-pelancaran Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 yang akan berlangsung dari Oktober 22 sehingga 2 November di Pengkalan Latihan Unit Udara Polis. - Foto NSTP

Kerajaan Perak bincang dengan SPAN buka semula LRA Ayer Ganda

IPOH: Kerajaan Perak akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk membuka semula Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda bagi kemudahan penduduk di kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau sudah berbincang dengan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berhubung perkara itu dan ia sedang dipertimbangkan di peringkat SPAN dan kementerian berkenaan.

“Kami, bagi pihak kerajaan negeri apabila arahan sudah diberikan oleh SPAN, terpaksa akur dengan arahan itu dan kita dengan sedaya upaya akan membekalkan air bersih dalam kampung (untuk kegunaan penduduk).

“Kita (kerajaan negeri) berpandangan air di loji masih boleh digunakan untuk kegunaan lain seperti membasuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pra Pelancaran Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak di Pusat Latihan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ipoh di sini hari ini.

Hadir sama, Komandan Pasukan Khas VAT69, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd Yusoff.

Ahmad Faizal mengulas rungutan penduduk kampung yang terjejas dengan penutupan loji berkenaan, selain bimbang dengan persediaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri jika loji berkenaan ditutup untuk tempoh lama.

Sebelum ini, SPAN mengarahkan Lembaga Air Perak (LAP) menutup LRA Ayer Ganda kerana mengandungi arsenik, sejenis bahan kimia logam berat yang berbahaya kepada kesihatan di dalam air terawat.

Air terawat itu untuk bekalan kepada kira-kira 1,500 penduduk di kampung berkenaan.

Mengenai penganjuran acara bertaraf antarabangsa anjuran VAT69 bermula 22 Oktober hingga 2 November depan, Ahmad Faizal berterima kasih atas usaha VAT69 memilih Perak, khususnya Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah di Ipoh sebagai lokasi kejohanan.

“Alhamdulillah, kita amat berbesar hati untuk menyambut kehadiran semua pasukan yang bakal bertanding dalam kejohanan bertaraf dunia yang julung kali diadakan sempena sambutan jubli emas pasukan elit PDRM pada Oktober depan.

“Kerajaan negeri berbesar hati untuk bekerjasama dengan pasukan VAT69 bagi menjayakan penganjuran kejohanan yang dijangka turut menarik minat beberapa pasukan dari luar negara, antaranya Bahrain, Australia, Arab Saudi, Indonesia, Thailand dan Singapura.

“Penganjuran kejohanan sebegini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengangkat Perak sebagai salah satu destinasi pelancongan dan sukan ekstrem terkenal dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X