Rabu, 17 April 2019 | 1:13pm
Dr Sahruddin melepaskan lebih 100 peserta perlumbaan antarabangsa Tour de Iskandar Johor (TdIJ) di Dataran Mahkota, Kota Iskandar. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

EXCO Kerajaan Johor dijangka dimuktamadkan minggu ini

JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bawah pentadbiran Menteri Besar Johor yang baharu, dijangka dimuktamadkan minggu ini.

Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal, berkata beliau masih meneliti senarai nama wakil rakyat yang sesuai menggalas tugas berkenaan.

“Seperti yang dikatakan sebelum ini, saya akan memilih EXCO yang saya selesa bekerja dengannya.

“Saya akan melihat dahulu. Penyusunan barisan EXCO sedang diperincikan,” katanya ringkas kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Sahruddin melepaskan lebih 100 peserta perlumbaan antarabangsa Tour de Iskandar Johor (TdIJ) di Dataran Mahkota, Kota Iskandar.

Ditanya mengenai kemungkinan beberapa nama sedia ada akan digugurkan pula, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tetapi menegaskan akan meneliti keseluruhan barisan EXCO.

Beliau turut mengesahkan tiada penambahan bilangan EXCO, sebaliknya pentadbiran kerajaan negeri kekal dengan 11 orang, termasuk Menteri Besar.

BH sebelum ini melaporkan banyak pihak menjangkakan perubahan dalam barisan EXCO kerajaan negeri dengan antara satu hingga tiga nama akan digugurkan dan diganti wakil rakyat lain.

Dr Sahruddin, 43, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Ahad lalu.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17 menggantikan Datuk Osman Sapian apabila Sultan Ibrahim memperkenan peletakan jawatan bekas Menteri Besar itu, Sabtu lalu.

Berita Harian X