Rabu, 17 April 2019 | 9:25pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lima dari kiri) bergambar beramai bersama penerjun dari Pasukan 69 Komando pada Majlis Pra-pelancaran Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 yang akan berlangsung dari Oktober 22 sehingga 2 November, di Pengkalan Latihan Unit Udara Polis, semalam. - Foto NSTP
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lima dari kiri) bergambar beramai bersama penerjun dari Pasukan 69 Komando pada Majlis Pra-pelancaran Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 yang akan berlangsung dari Oktober 22 sehingga 2 November, di Pengkalan Latihan Unit Udara Polis, semalam. - Foto NSTP

LRA Ayer Ganda tidak akan beroperasi semula - SPAN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) buat masa ini tiada perancangan untuk mengembalikan semula operasi Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda di Gerik, Perak, selepas ia dicemari arsenik.

SPAN sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air menjelaskan pihaknya bertanggungjawab memastikan bekalan air terjamin dan selamat diminum oleh pengguna.

Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan memohon kerjasama Kerajaan Perak dan agensi berkaitan supaya mengambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing dalam menangani punca pencemaran arsenik.

“Ini bagi memastikan supaya sungai terbabit bebas daripada sebarang pencemaran dan LRA Ayer Ganda dapat dioperasikan semula.

“SPAN juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan perundangan subsidiarinya.

“Semua pengguna turut di kawasan terjejas turut dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah, selain elakkan pembaziran dan penggunaan air untuk tujuan yang kurang penting,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, semalam dilaporkan memohon supaya operasi LRA Ayer Ganda dibuka semula bagi mengatasi masalah yang dihadapi kira-kira 1,500 penduduk.

Bagaimanapun, katanya, permohonan untuk membuka semula operasi loji itu yang turut dibincangkan dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar bukan untuk kegunaan makan dan minum.

SPAN menjelaskan, LRA Ayer Ganda yang berkapasiti 0.68 juta liter sehari (JLH) membekalkan air kepada kira-kira 312 akaun pengguna di Kampung Ayer Ganda.

Susulan pencemaran arsenik itu, katanya, Lembaga Air Perak (LAP) membekalkan air kepada pengguna di kawasan terjejas dengan menggunakan sembilan lori tangki dan menempatkan 13 tangki statik di lokasi strategik.

“SPAN akan memohon LAP meningkatkan bilangan lori tangki dan tangki statik supaya dapat meringankan beban penduduk yang terjejas dengan gangguan bekalan air ini.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, LAP mula memasang paip daripada sistem agihan LRA Lawin bagi membekalkan air ke kawasan Kampung Ayer Ganda.

“Kerja-kerja pemasangan paip sepanjang kira-kira 11.5 kilometer ini dijangka akan siap pada pertengahan Jun ini,” katanya.

Mengulas perkembangan LRA Ayer Ganda, SPAN menjelaskan pencemaran arsenik terhadap sumber air mentah loji rawatan itu masih berlaku setakat April yang menyaksikan kandungan bahan kimia berkenaan berada pada paras 0.027 miligram perliter (mg/L) berdasarkan laporan LAP, dan 0.024 mg/L mengikut penelitian KKM.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X