Khamis, 18 April 2019 | 4:58pm
LOKMAN menyampaikan zakat fitrah MAIM kepada golongan asnaf pada majlis Penyerahan Bantuan Persediaan Ramadan (Zakat Fitrah) dan Fidyah kepada Asnaf Fakir dan Miskin di Dewan JAPERUN Sungai Udang. - Foto Hassan Omar

Kutipan zakat RM87.8j bantu golongan asnaf di Melaka

MELAKA: Zakat Melaka menyalurkan RM87.8 juta hasil kutipan zakat tahun lalu kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk diagihkan kepada kepada golongan asnaf di negeri ini.

Jumlah itu meningkat sebanyak RM2.2 juta berbanding RM85.6 juta hasil kutipan pada 2017 dengan penerima zakat diberi bantuan antara RM100 hingga RM300 setiap seorang.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Mohd Lokman Abdul Ghani, berkata kebanyakan penerima sumbangan menganggap MAIM adalah institusi yang mengumpulkan dana berkenaan sedangkan agensi sebenar yang memikul tanggungjawab terbabit ialah Zakat Melaka.

“Sumbangan pada program hari ini ialah wang zakat yang dikumpulkan oleh Zakat Melaka. Namun, kebanyakan penerima bantuan tidak tahu wang itu daripada Zakat Melaka, sebaliknya mereka menganggap wang itu daripada MAIM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Penyerahan Bantuan Persediaan Ramadan (Zakat Fitrah) dan Fidyah kepada Asnaf Fakir dan Miskin MAIM di Dewan Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Mohd Rizalman Syed.

Pada majlis itu, MAIM mengagihkan zakat fitrah dan fidyah sebanyak RM145,850 bagi DUN Sungai Udang berbanding RM75,150 tahun lalu.

Sementara itu, Talib Hashim, 70, berkata, dia bersyukur dipilih sebagai penerima bantuan berikutan keadaannya tidak berdaya selepas kemalangan jalan raya Februari lalu.

“Saya tinggal dengan anak bongsu lelaki berusia 25 tahun yang tidak ada pekerjaan tetap dan sedikit sebanyak sumbangan yang saya terima hari ini membolehkan kami membuat persediaan menyambut Ramadan,” katanya.

Bagi, Nurhija Bahari, 54, sumbangan itu mampu meringankan bebannya untuk menyambut Ramadan serta membeli barangan dapur.

Berita Harian X