Sabtu, 20 April 2019 | 12:28pm
EXCO Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad (kiri) bersama Pengarah Urusan Johor Land Bhd (JLand), Lokman Abu Bakar ketika majlis perasmian Galeri Jualan JLand di Bandar Tiram, Johor Bahru. - NSTP/Mohd Fahmi Mohd Yusof

Beberapa portfolio EXCO Johor dijangka ada pindaan, perubahan - Dzulkefly

JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang bakal diumumkan Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal, dalam masa terdekat dijangka menyaksikan pindaan dan perubahan beberapa portfolio.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata beliau sudah berbincang berhubung perkara itu dengan Dr Sahruddin.

Katanya, portfolio beliau kini mungkin akan digabungkan dengan kerajaan tempatan yang sebelum ini diasingkan sejurus Pakatan Harapan (PH) merampas pentadbiran Johor daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Menteri Besar bercadang menggabungkan (portfolio) perumahan dengan kerajaan tempatan. Namun, ia bergantung pada Menteri Besar sama ada hendak pinda atau tidak.

“Bagaimanapun, saya tidak ada masalah jika diberikan peluang memegang (portfolio) kerajaan tempatan kerana latar belakang (pendidikan) saya meliputi perumahan dan kerajaan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan galeri jualan baharu Johor Land Bhd (JLand) di Bandar Tiram, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan JLand, Lokman Abu Bakar, dan Setiausaha Bahagian Perumahan Johor, Mohd Radzi Mohd Amin.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, peruntukan awal kuota pecahan EXCO mengikut parti dalam PH di Johor juga kekal seperti sebelum ini.

“Kuota pecahan EXCO di Johor kekal seperti yang dipersetujui sebelum ini, iaitu tiga portfolio bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), masing-masing dua untuk Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR, serta empat daripada DAP,” katanya

Media sebelum ini melaporkan Dr Sahruddin sebagai berkata, barisan EXCO bawah pentadbirannya dijangka dimuktamadkan minggu ini.

Berita Harian X