Isnin, 22 April 2019 | 6:44pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

3 pencapaian 10 bulan jadi menteri - Khalid

PUTRAJAYA: Penubuhan Majlis Menteri, mengkaji semula urusan transaksi tanah dan mewartakan pelan pembangunan di Kuala Lumpur adalah tiga kejayaan dicapai Khalid Abdul Samad selepas hampir 10 bulan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Dilantik menerajui kementerian itu mulai Julai 2018, beliau menyifatkan inisiatif dan inovasi yang laksana untuk melakukan perubahan di Wilayah Persekutuan sebagai kejayaan yang bermakna, khusus kepada bandaraya Kuala Lumpur.

“Kejayaan paling besar bagi saya adalah meningkatkan mutu demokrasi di Kuala Lumpur dengan menubuhkan Majlis Menteri.

“Majlis ini dianggotai 11 Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan dan duduk bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menentukan dasar yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Sebelum ini, Ahli Parlimen tidak mempunyai fungsi dalam DBKL dan kementerian. Penubuhan majlis ini adalah satu usaha untuk mengiktiraf peranan Ahli Parlimen yang selama ini terpinggir dari DBKL dan kementerian.

“Majlis Menteri ini akan mengimbangi kuasa menteri, yang sebelum ini dasar memajukan Wilayah Persekutuan ditentukan menteri dan Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Kata Khalid lagi, keputusan kementerian untuk mengkaji semula 97 transaksi tanah DBKL kepada pelbagai syarikat di ibu negara juga satu kejayaan membanggakan kementerian dan PBT

itu.

Katanya, susulan keputusan mengkaji semula transaksi itu, DBKL kini berjaya memperoleh pendapatan tambahan dalam bentuk tunai dan nilai tanah yang dikembalikan sebanyak RM481 juta, hasil rundingan semula perjanjian berkenan.

“Sebanyak 460 juta ringgit dapat dijimatkan dan dijadikan penambahan pendapatan kepada DBKL selepas 97 transaksi tanah dikaji dan dirunding semula.

“Bagaimanapun, angka berkenaan dijangka berubah-ubah berikutan terdapat lagi transaksi tanah yang masih di dalam rundingan,” katanya.

Bagi kejayaan ketiga, beliau berkata, ia membabitkan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 (PlanKL2020) yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

“Ia yang pertama kali dilakukan DBKL dan langkah ini bertujuan mengawal pembangunan di Kuala Lumpur supaya selari dengan Plan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang diwartakan,” katanya.

Khalid turut menegaskan, usaha dan kerja perundingan sedang dijalankan untuk menyiapkan Pelan KL 2040 dan selepas itu akan diwartakan menjelang akhir tahun 2020.

Sementara itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), berkata kementeriannya sedang berusaha menyelesaikan pembangunan di Taman Rimba Kiara dekat Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bagi membolehkan hampir 100 keluarga yang mendiami rumah panjang sementara di situ mendapat rumah kekal seperti dijanjikan kerajaan sejak 36 tahun lalu.

Katanya, projek berkenaan agak kontroversi kerana mendapat bantahan penduduk sekitar selain Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.

“Apa yang kami lakukan adalah runding semula projek ini dengan pemaju yang akhirnya bersetuju untuk menurunkan jumlah tanah yang diambil daripada 12 ekar (4.8 hektar) kepada 3.2 hektar.

Selain itu, katanya, kementeriannya juga sedang merancang untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur dengan memastikan setiap jalan utama di ibu negara mencapai Tahap C.

“Kita akan membuka tender untuk syarikat perunding membuat kajian mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di setiap jalan utama untuk capai Tahap C pada Ogos ini,” katanya.

Selain itu, katanya, sebagai usaha awal, DBKL membelanjakan RM20 juta untuk menyelenggarakan laluan bas percuma GOKL yang bertujuan menggalakkan pengguna jalan raya di ibu negara menggunakan kenderaan awam.

Berita Harian X