Isnin, 22 April 2019 | 9:02pm
Adly (tiga dari kiri) hadir pada program Sembang Santai Usahawan Lang International Corporate Titans Awards di Seri Bendahara, di Melaka, hari ini. - NSTP/Rasul Azli Samad
Adly (tiga dari kiri) hadir pada program Sembang Santai Usahawan Lang International Corporate Titans Awards di Seri Bendahara, di Melaka, hari ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

20 pelabur minat bangunkan tanah terbiar di Melaka

AYER KEROH: Sekurang-kurangnya 20 pelabur tempatan yang mempunyai hartanah di Melaka menyatakan minat untuk membangunkan semula tanah mereka yang terbiar.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata langkah terbabit dilihat bertepatan dengan keadaan semasa di Melaka yang memerlukan beberapa lagi pembangunan demi merancakkan lagi sektor pelaburan di negeri ini.

Beliau berkata, hasil perbincangan dengan pelabur terbabit baru-baru ini, beberapa pandangan diambil perhatian untuk memastikan semangat mereka untuk melabur tidak terbantut.

“Kita memberi satu keyakinan kepada mereka bahawa langkah yang diambil itu satu usaha terbaik untuk membangunkan lagi sektor ekonomi di negeri ini.

“Hasil perbincangan itu sedang diteliti, termasuk bentuk projek yang akan dibangunkan kelak, sama ada sesuai atau sebaliknya,” katanya selepas menghadiri program Sembang Santai Usahawan Lang International Corporate Titans Awards di Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri bakal melancarkan aplikasi kesihatan pertama, sekali gus mampu membentuk masyarakat sihat di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini kerajaan negeri masih berbincang mengenai pelancaran aplikasi dikenali sebagai ‘Melaka Sihat’ itu yang mampu menjejak tahap kesihatan rakyat dengan sasaran penggunanya wanita dan belia.

“Kerajaan negeri masih lagi berbincang dengan syarikat berkenaan dan menilai pelaksanaan ini supaya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Lebih menarik, setiap individu yang menjalani program pada aplikasi berkenaan akan diberikan mata ganjaran pada setiap aktiviti yang dijalankan.

“Setiap mata ganjaran yang dikumpul boleh diguna untuk menebus produk kesihatan yang disediakan, sekali gus dapat memberi motivasi kepada mereka untuk terus menjaga kesihatan diri,” katanya.

Berita Harian X