Rabu, 24 April 2019 | 8:08pm
ANTARA pembida, membida harga pada Lelongan Awam Kenderaan Sita di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

JPJ Pulau Pinang kutip lebih RM2.31 juta lelong kenderaan sita

BUTTERWORTH: Program Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang hari ini berjaya mengumpul hasil jualan RM2.31 juta.

Ia tidak termasuk hasil kutipan buku lelong sebanyak RM105,000 sejak ia mula dijual pada 23 Mac lalu.

JPJ negeri, dalam satu kenyataan media, berkata semua 100 kenderaan sita yang dilelong kepada orang awam habis dibida pada jam 2 petang tadi.

Katanya, daripada 100 kenderaan sita itu, terdapat 97 kereta boleh dilesenkan manakala tiga lagi tidak boleh didaftarkan (scrap).

“Bidaan tertinggi pada majlis ini adalah bagi dua kenderaan jenis Toyota Estima 2.4 (A) yang dibida pada harga RM52,000 sebuah, manakala kutipan bidaan terendah adalah untuk dua kereta jenis Nissan Sentra 1.6 dan Nissan March 1.0 yang dibida pada harga RM 7,000 sebuah.

“Sementara itu, tiga kenderaan yang tidak boleh daftar (scrap) mencatatkan kutipan bidaan RM 9,200,” katanya.

Program lelongan awam itu sepatutnya berakhir petang esok, bagaimanapun ia habis dijual lebih awal daripada jangkaan yang ditetapkan iaitu hanya berlangsung selama empat jam saja.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor, pagi tadi.

Dalam majlis berkenaan, wakil pemerhati daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut hadir bagi memantau proses lelongan.

Berita Harian X