Khamis, 25 April 2019 | 12:51pm
PENGARAH Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Said Sidup. - NSTP/Syamsi Suhaimi
PENGARAH Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Said Sidup. - NSTP/Syamsi Suhaimi

Masih ramai tidak daftar anak OKU dengan JKM

KOTA BHARU: Masih ramai ibu bapa dan penjaga di negeri ini dikesan tidak mendaftarkan ahli keluarga mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan kad orang kurang upaya (OKU).

Pengarah JKM negeri, Said Sidup, berkata setakat ini hanya lebih 42,600 penduduk negeri ini berdaftar sebagai OKU dengan jabatan itu.

Katanya, mengikut perkiraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah OKU.

“Mungkin ibu bapa tidak mempunyai kesedaran mengenai pentingnya untuk mendaftar anak istimewa mereka dengan JKM.

“Pendaftaran ini sangat penting kerana memberi kelebihan kepada anak termasuk belajar di sekolah khas dan mendapat peluang pekerjaan.

“Mereka juga akan diberikan bantuan elaun di antara RM150 hingga RM300 sebulan,” katanya.

Beliau ditemui di Program Hari Terbuka dan Perasmian Bangunan Baru Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Al-Madani di Kampung Chepa, Sering, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PPDK Al-Madani, Sabari Abdul Rahim.

Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga perlu mengambil berat perihal anak OKU mereka supaya mendapat pembelaan yang sepatutnya.

Pada perkembangan sama, Said berkata, terdapat 45 Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Kelantan yang mendapat peruntukan RM5.6 juta untuk operasi.

Berita Harian X