Jumaat, 26 April 2019 | 4:09pm
AHMAD Faizal Azumu pada sidang media selepas Majlis Menandatagani Memorandum Persafahaman Sistem Rawatan Air Di Antara Yayasan Sultan Azlan Shah dan Ketua Penyelaras Imam Response and Relief Team (IMARET), di Ipoh. - Foto Effendy Rashid
AHMAD Faizal Azumu pada sidang media selepas Majlis Menandatagani Memorandum Persafahaman Sistem Rawatan Air Di Antara Yayasan Sultan Azlan Shah dan Ketua Penyelaras Imam Response and Relief Team (IMARET), di Ipoh. - Foto Effendy Rashid

Perak rayu LRA Sungai Ganda dibenar beroperasi semula

IPOH: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masih mengekalkan keputusan menghentikan sementara operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ganda di Gerik walaupun kerajaan Perak sudah memohon agar ia dibuka semula.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau menghubungi Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Mohd Yusuf Mohd Isa semalam dan dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya sendiri sebelum ini sudah menulis surat dan berjumpa Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang memaklumkan mereka tidak dapat menarik balik arahan berkenaan kecuali mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) dan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), di sini hari ini.

MoU berkenaan bagi membolehkan kerjasama berhubung pembekalan air terawat `SafeWhere’ untuk enam kampung Orang Asli.

SPAN sebelum ini mengarahkan LAP menutup LRA Sungai Ganda selepas laporan Kementerian Kesihatan pada 8 Januari mengesan pencemaran arsenik. Laporan susulan pada Februari dan bulan lalu pula mengesan kandungan arsenik dalam air terawat.

Sehubungan itu, LAP pada 9 April lalu menutup operasi LRA berkenaan yang membekalkan air terawat kepada lebih 1,500 penduduk Kampung Ayer Ganda.

Ahmad Faizal berharap SPAN dapat membenarkan LRA itu dibuka semula berikutan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye baru-baru ini, yang mengesahkan bahawa air terawat di situ selamat untuk digunakan bagi tujuan mencuci pakaian dan mandi.

Ketika ini, katanya, LAP masih membekalkan air menggunakan lapan lori tangki air kepada penduduk di kawasan terjejas dan penutupan LRA berkenaan menyukarkan kehidupan mereka terutama menjelang Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.

“Saya berharap SPAN dapat memberi sedikit ruang kepada penduduk menggunakan air dibekalkan dari LRA itu, bukan untuk makanan dan minuman, tetapi perkara lain seperti mandi dan mencuci pakaian yang sudah disahkan oleh Dr Lee Boon Chye sebagai selamat.

“Saya rasa kenyataan itu (Dr Boon Chye) sudah memadai,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X