Ahad, 28 April 2019 | 2:54pm
KETUA Pegawai Pembangunan MAIK, Mohd Azman Ghazali (tengah) menyampaikan sijil tauliah kepada amil zakat fitrah pada Majlis Pelantikan dan Penyampaian Sijil kepada Amil Baharu di Dewan Tazkirah, Kota Bharu, hari ini. - Foto Siti Rohana Idris

MAIK lantik 99 amil zakat fitrah daripada 33 agensi

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melantik seramai 99 amil membabitkan 33 agensi bagi menguruskan zakat fitrah, tahun ini.

Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Mohd Azman Ghazali, berkata pentauliahan itu kali ketiga dibuat membabitkan amil zakat fitrah yang baharu.

Katanya, amil berkenaan juga diberi taklimat pengurusan zakat fitrah oleh Pegawai Zakat MAIK, Riduan Abdul Rahman.

“Agensi berkenaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, institusi pengajian tinggi dan hospital.

“Amil terbabit dipilih agensi masing-masing bagi membantu MAIK dalam usaha memudahkan urusan pembayaran zakat fitrah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelantikan dan Penyampaian Sijil kepada Amil Baharu di Dewan Tazkirah, di sini, hari ini.

Mohd Azman berkata, pentauliahan itu bertujuan mengelakkan isu timbul dalam urusan pembayaran zakat fitrah sebelum ini, antaranya sesetengah masjid tidak menyediakan kaunter pada awal Ramadan dan tiada petugas khusus untuk pengurusan zakat fitrah.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIK menyasarkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM195 juta, tahun ini, berbanding RM182 juta tahun lalu.

“Kutipan paling banyak adalah daripada zakat pendapatan. Kita menyalurkan hasil kutipan zakat ini kepada 24 cabang, termasuk bantuan bulanan kepada fakir miskin, rawatan perubatan, biasiswa kecil pelajar dan bantuan pemulihan rumah.

“Bagaimanapun, kira-kira 65 peratus kutipan zakat disalurkan kepada fakir miskin dan anak yatim,” katanya.

Berita Harian X