Ahad, 28 April 2019 | 3:49pm

Bekalan air pulih secara berperingkat

SIMPANG RENGGAM: Bekalan air kepada 23,000 premis di Simpang Renggam dan Pontian Utara yang terjejas sejak beberapa hari lalu pulih sepenuhnya hari ini, selepas Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam kembali beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse, berkata LRA berkenaan mula beroperasi pagi tadi apabila kandungan ammonia Sungai Benut yang menjadi sumber air mentahnya berada di paras normal.

“Mengikut perancangan, bekalan air bersih sudah disambung semula secara berperingkat dan semua premis kembali mendapat bekalan menjelang tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Selasa lalu, Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) terpaksa menghentikan operasi LRA berkenaan selepas kualiti sumber air merosot akibat pencemaran ammonia.

Ia berlaku apabila benteng kolam air larutan serapan di Tapak Pelupusan Sampah CEP 1 Simpang Renggam berhampiran Sungai Benut pecah akibat hujan lebat.

Operasi disambung semula sehari kemudian apabila paras ammonia menurun namun penutupan terpaksa dilakukan sekali lagi pada pagi Khamis lalu apabila Ranhill SAJ mengesan peningkatan paras ammonia di sungai berkenaan.

Sementara itu, seorang pengguna, Helfiza Norikin, 22, yang menjalankan perniagaan makanan di Simpang Renggam, berkata walaupun bekalan air sudah pulih, keadaan air yang dibekalkan agak keruh dan mengeluarkan bau klorin yang kuat.

Katanya, kekerapan gangguan bekalan air terawat akibat pencemaran ammonia sejak kebelakangan ini turut menjejaskan perniagaan keluarganya.

“Peniaga mengalami masalah kerana kekurangan air untuk memasak selain membasuh peralatan termasuk pinggan dan gelas,” katanya.

Seorang penduduk di kawasan itu, Juriah Senin, 33, berkata mereka yang tinggal di kawasan kampung sukar untuk mendapatkan bekalan air bersih setiap kali gangguan bekalan air berlaku.

“Keadaan lebih sukar bagi penduduk yang mengalami masalah kesihatan yang memerlukan air terutama wanita berpantang,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X