Selasa, 30 April 2019 | 4:13pm
MEOR RAZAK (dua kiri) menyerahkan memorandum membantah projek ladang hutan di Hutan Simpan Bukit Kinta, Hutan Simpan Kledang Saiong dan pembangunan di Bukit Kledang kepada Pegawai Sekretariat Negeri Perak, Kamarudin Ahmad (tiga kanan) di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya.

NGO, Orang Asli bantah projek ladang hutan

Gambar Muhaizan Yahya

IPOH: Sebanyak 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama 100 penduduk Orang Asli membantah projek ladang hutan di tiga kawasan hutan simpan membabitkan keluasan kira-kira 400 hektar di sekitar bandar raya ini.

Mereka termasuk ahli Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah projek ladang hutan yang dilakukan di Hutan Simpan Bukit Kinta, Hutan Simpan Keledang Saiong dan Bukit Kledang, di sini.

Bagi menyatakan bantahan, mereka berkumpul di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang diterima oleh wakil Pejabat Menteri Besar, hari ini.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata memorandum berkenaan diserahkan selepas pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri berhubung projek terbabit yang dikatakan menjejaskan alam sekitar.

Katanya, dalam memorandum itu, gabungan NGO bersama penduduk kampung Orang Asli menggesa kerajaan negeri membatalkan projek terbabit dan memindahkannya ke kawasan lain yang terbiar, bukannya di tiga hutan simpan itu.

“Kalau nak buat ladang hutan, banyak lagi kawasan di negeri ini yang terbiar seperti bekas lombong, tanah milik agensi kerajaan, tanah milik perbadanan, buatlah ladang hutan, kami tidak membantah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau mendakwa, hasil pemeriksaan kumpulan NGO berkenaan di ketiga-tiga kawasan yang diluluskan untuk projek ladang hutan itu, mendapati ia adalah kawasan hutan simpan dan masih menjadi sumber pendapatan bagi penduduk Orang Asli.

Sementara itu, Pengerusi KUASA Perak, Mohamad Hafizudin Mohd Nasarudin, berkata kerajaan negeri memilih dua kawasan hutan simpan di daerah Kinta bagi menebang semua pokok bagi ditukarkan kepada ladang hutan.

Katanya, sehingga ke hari ini, NGO mahupun penduduk kampung Orang Asli yang tinggal berhampiran dengan projek berkenaan tidak dimaklumkan jenis tanaman yang akan ditanam di kawasan itu.

“Apa yang menjadi kebimbangan kami, kawasan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong seluas 300 hektar ini masih hutan yang kaya dan kami yakin kawasan ini masih banyak lagi hidupan biologi dan spesies hidupan liar yang masih tinggal.

“Lambat laun apabila ia dimusnahkan, ia memberi impak kepada alam sekitar, malah terdapat dua kawasan tadahan air iaitu di kawasan tadahan air Nyamuk dan Sungai Johan tetapi (kedua-duanya) tidak diwartakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk masyarakat Orang Asli Kampung Ulu Geruntum, Uda Tiah Bah Adim, 54, berkata penduduk kampung bukan mahu menolak pembangunan sebaliknya hanya mahu mempertahankan kawasan penempatan masyarakat Orang Asli.

Katanya, sekiranya projek berkenaan diteruskan di Hutan Simpan Bukit Kinta, pihaknya akan merujuk kepada mahkamah untuk mendapatkan keputusan.

“Ini membabitkan harta benda di kawasan kami, di kawasan cucuk tanam kami di kampung, kami hanya mahu mempertahankan kawasan kami kerana projek itu membabitkan tempat duduk diam kami. Jika kawasan dimusnahkan, di mana kami mahu tinggal?” katanya.

Penduduk Orang Asli dari Kampung Kerawat, Simpang Pulai, Hasim Itam, 60, pula berkata dia kecewa dengan tindakan kerajaan negeri meluluskan projek ladang hutan di kawasan penempatan mereka.

“Kita sudah tinggal di kawasan itu berpuluh-puluh tahun tetapi kini telah dibuka untuk projek ladang hutan. Jika kami hilang kawasan itu, kita tidak boleh melindungi budaya dan tanah adat kami,” katanya.

Berita Harian X