Jumaat, 3 Mei 2019 | 5:40pm
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin. - Foto Khairull Azry Bidin

Inluenza B: Tiada aktiviti perhimpunan di sekolah terbabit

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang mengarahkan

tiada aktiviti perhimpunan dilakukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pantai Sepang Putra di Sepang dalam tempoh terdekat.

Ia susulan laporan 18 murid sekolah itu dijangkiti Influenza B.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, turut meminta ibu bapa atau penjaga memberi laporan segera kepada pihak sekolah sekiranya murid di bawah jagaan mereka terkena wabak berkenaan.

“Kementerian turut menggalakkan murid sekolah berkenaan, terutama yang mengalami masalah kesihatan seperti selsema dan batuk memakai penutup hidung dan mulut supaya tidak berjangkit.

“Malah, PPD Sepang dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor diminta memantau kes ini dan membantu mangsa yang terbabit dari aspek kebajikan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan terus memantau kes jangkitan Influenza membabitkan murid.

Katanya, semua sekolah di seluruh negara diminta mengikut arahan dan syor Jabatan Kesihatan.

“Bagaimanapun buat masa ini tiada keperluan untuk menutup mana-mana sekolah. Kementerian sekali lagi memberi jaminan akan memantau perkembangan demi kebajikan murid dan guru,” katanya.

Berita Harian X