Isnin, 6 Mei 2019 | 12:30pm
AMAR Juma'ani Tun Tuanku Bujang (tiga dari kiri) diiringi Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha (kiri) ketika merasmikan Majma Raya Fest 2019 di Majma Mall, Jalan P. Ramlee, Kuching. - Foto Norsyazwani Nasri

MIS sasar kutipan zakat fitrah RM5 juta

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM5 juta, tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Misnu Taha, berkata jumlah itu sama dengan kutipan tahun lalu berikutan kadar zakat fitrah di Sarawak kekal RM7 pada Ramadan kali ini.

“Kesedaran umat Islam berhubung kewajipan membayar zakat kini semakin meningkat sehingga mencapai 95 peratus.

“Sebanyak 30 peratus penduduk di Sarawak terdiri daripada umat Islam dan kami percaya sasaran jumlah kutipan zakat fitrah itu akan tercapai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Majma Raya Fest 2019, di sini, petang semalam.

Majma Raya Fest 2019 yang dirasmikan isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, akan berlangsung hingga 4 Jun depan dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Dalam pada itu, Misnu berkata, umat Islam di Sarawak perlu menghormati Ramadan dengan tidak makan di khalayak ramai pada waktu siang hari.

“Pemantauan dan penguatkuasaan akan dilakukan Jabatan Agama Islam Sarawak di seluruh negeri, terutama di premis menjual makanan, sepanjang Ramadan.

“Kami akan melaksanakan operasi bagi menangkap umat Islam yang tidak menghormati Ramadan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ramadan perlu disemarakkan dengan pelaksanaan lebih banyak program kebajikan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan, selain mengimarahkan masjid serta surau dengan aktiviti keagamaan.

“Kami juga berharap Ramadan tahun ini disambut dalam suasana aman damai dan harmoni,” katanya.

Berita Harian X