Selasa, 7 Mei 2019 | 8:50am
SURAT arahan dari Setiausaha Kerajaan Negeri kepada semua Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mengarahkan semua pengusaha kedai makan dan restoran di negeri ini menghentikan serta merta operasi mereka sementara waktu dari jam 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang Ramadan bagi menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat Terawih secara berjemaah di masjid dan surau. - Foto ihsan pembaca
SURAT arahan dari Setiausaha Kerajaan Negeri kepada semua Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mengarahkan semua pengusaha kedai makan dan restoran di negeri ini menghentikan serta merta operasi mereka sementara waktu dari jam 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang Ramadan bagi menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat Terawih secara berjemaah di masjid dan surau. - Foto ihsan pembaca

Ramadan: Kedai makan di Kelantan diarah henti operasi sejam setengah

KOTA BHARU: Semua pengusaha kedai makan dan restoran di negeri ini diarah menghentikan sementara operasi dari jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan, berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada semua ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui surat ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin, semalam.

Menurut surat itu, arahan berkenaan adalah untuk menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau.

Sehubungan itu, ketua pengurusan PBT diminta mengeluarkan arahan berkenaan kepada semua pengusaha kedai makan dan restoran di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz melalui satu kenyataan dalam Facebook beliau, berharap arahan itu ditarik balik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, ia mengganggu kebenaran dan keberkatan Ramadan kerana rezeki yang halal serta baik pada bulan itu wajar digalakkan dan bukan dihalang.

“Saya ditunjukkan surat arahan ini selepas solat tarawih, tadi (malam tadi). Selepas sahkan kebenarannya, saya berharap dan berdoa agar arahan ini ditarik balik.

“Pada bulan penuh kelebihan ini, umat Islam digalak menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah al Rasul.

“Barang siapa yang diharamkan oleh Allah dengan keberkatan dan kelebihan pada bulan Ramadan, maka sesungguhnya dia telah diharamkan daripada segala kebaikan - maksud hadis al Rasul,” katanya.

Sementara itu, semakan mendapati ramai netizen yang turut kongsi surat terbabit melalui laman sosial Facebook, tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri berkenaan, manakala sebahagian lagi menyokong.

Berita Harian X