Rabu, 8 Mei 2019 | 5:12pm
KERJA-KERJA membaik pulih paip utama yang pecah giat dilakukan di tapak Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping. - Foto BERNAMA

Struktur tanah punca paip pecah

SHAH ALAM: Pihak West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) menafikan masalah paip pecah di projek pembinaan Lebuhraya WCE Banting-Taiping Ahad lalu berpunca daripada reka bentuk dan pembinaan lebuhraya itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, WCE menegaskan siasatan awal mendapati masalah struktur tembok tanah berkenaan berpunca daripada perubahan struktur tanah terbabit dan ketika ini, siasatan pihak perunding geoteknikal masih berjalan.

Masalah paip pecah itu menyebabkan 160,000 akaun atau hampir 800,000 pengguna di Klang mengalami gangguan bekalan air.

WCE berkata pihaknya menyediakan lori tangki air bagi memudahkan pengguna terjejas mendapat bekalan air, sekali gus menyokong usaha Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata gangguan dijangka selesai sepenuhnya petang ini dan kawasan paling lewat menerima bekalan air adalah Telok Gong di Pulau Indah.

Amirudin berkata, gangguan bekalan air itu berlaku selepas runtuhan jajaran lebuh raya berkenaan pada tengah malam 4 Mei lalu, yang kemudian memberi tekanan kepada tiga paip masing-masing berkapasiti 1,400 milimeter (mm), 900mm dan 600mm.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya mahu pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meneliti kualiti kerja di jajaran terbabit.

Berita Harian X