Khamis, 9 Mei 2019 | 1:05pm
ADLY Zahari

Diskaun 50 peratus sewa gerai makan PBT

AYER KEROH: Sebanyak 2,226 pengusaha gerai makan kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menikmati diskaun 50 peratus kadar sewa, bulan ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata gerai itu meliputi empat kawasan PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Langkah ini dibuat bagi meringankan beban pengusaha yang tidak menjalankan operasi pada waktu siang sepanjang Ramadan.

“Pengurangan kadar sewa juga merangkumi pengusaha bukan Islam,” katanya pada sidang media mesyuarat EXCO, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri sedang menyemak dasar dan syarat pengiklanan di peringkat PBT berhubung perkataan singkatan bahasa Inggeris, ’KTHXBYE’ dan maskot biru Selamat Datang Ke Kampung Saya di papan iklan yang dipasang di jejantas di laluan utama, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berhampiran Masjid Al-Azim, di Peringgit.

Katanya, dia tidak menolak jika ia berkaitan kreativiti mempromosi produk yang dijenamakan semula oleh syarikat pengeluar makanan ringan di lokasi itu, namun jika ia berbentuk slogan semata-mata perkara itu perlu dikaji semula.

“Sebagai contoh, singkatan perkataan antara model pengiklanan moden yang hanya difahami generasi muda namun bukan keseluruhan.

“Justeru, kita akan lihat semula dasar, bagaimana permohonan itu dibuat, dan adakah mendapat kebenaran (PBT dan Dewan Bahasa dan Pustaka),” katanya penggunaan bahasa atau perkataan jelas dan betul penting kerana ia memberi kesan kepada imej Melaka sebagai negeri pelancongan.

Gambar yang memaparkan penggunaan singkatan perkataan serta maskot dimuat naik di laman sosial itu tular di Facebook, dan mendapat kecaman netizen antaranya bahasa itu hanya difahami oleh pengguna ‘WeChat’ yang didakwa merosakkan bahasa kebangsaan.

Berita Harian X