Khamis, 9 Mei 2019 | 1:21pm
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Pelan KL 2040

KUALA LUMPUR: Penyediaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 yang akan melaksanakan dasar dan strategi pelan struktur peringkat tempatan mula dilaksanakan pertengahan tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Dahlan, berkata Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 menyediakan garis panduan dengan lebih terperinci untuk kawalan perancangan.

Jelasnya, pelan itu turut merangkumi pelbagai program pembangunan tempatan untuk dikenal pasti dan mengetengahkan isu serta dasar utama tempatan kepada awam.

“Tujuan utama pelan ini dibangunkan bagi menyediakan dan melaksanakan pelan pembangunan yang menjelaskan ketetapan perancangan sebagai panduan kepada pelaksanaan pembangunan. Pelan ini akan menjadikan sistem perancangan peringkat tempatan lebih telus.

“Ini juga bertindak sebagai garis panduan kepada agensi kerajaan dan pihak berkepentingan serta menjadi asas pemajuan tanah oleh pemilik hartanah, pemaju dan penduduk untuk membuat permohonan perancangan dan pembangunan di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Nor Hisham berkata, proses penyediaan draf pelan berkenaan turut membabitkan enam sesi prarundingan awam yang dijalankan sejak 25 Januari sehingga 28 Februari lalu, membabitkan beberapa pihak termasuk ahli parlimen, pelbagai agensi, badan profesional, ahli akademik dan perwakilan penduduk.

Katanya, penyediaan pelan itu dengan bantuan pasukan pakar rundingan diketuai oleh beliau sendiri.

Beliau berkata, kajian itu membabitkan empat peringkat iaitu peringkat laporan awal, laporan penemuan, laporan draf awal dan laporan draf akhir Pelan Tempatan Kuala Lumpur.

“Pembabitan awam dan pihak berkepentingan akan dilaksanakan pada semua peringkat kajian melalui kaedah soal selidik, bengkel, perbincangan kumpulan fokus, reka bentuk dan sesi ‘townhall’.

“Setelah draf pelan itu disediakan, satu notis awam dalam warta dan akhbar tempatan bagi makluman mengenai perkara itu. Selain itu, orang awam akan dipelawa untuk membuat bantahan secara bertulis tidak kurang satu bulan dari tarikh notis disiarkan,” katanya.

Proses berkenaan akan dilanjutkan kepada mendengar pandangan awam melalui Jawatankuasa Pendengaran Awam dan seterusnya akan meminda draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 berdasarkan pengesyoran dalam laporan berkenaan.

Nor Hisham juga berkata, peringkat seterusnya Menteri Wilayah Persekutuan dengan nasihat Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan akan menimbangkan dan boleh meluluskan Pindaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 mengikut Seksyen 16 Akta 267.

“Peringkat akhir pewartaan pelan berkenaan yang diluluskan akan disiarkan dalam warta dan akhbar tempatan.

“Pemakaian Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 dijangka akan berkuat kuasa pada Januari 2021,” katanya.

Berita Harian X