Jumaat, 10 Mei 2019 | 6:10pm
Sebuah syarikat pengeluar makanan ringan di negeri ini diarah untuk menurunkan papan iklan gergasi yang memaparkan perkataan singkatan bahasa Inggeris, 'KTHXBYE' yang dipasang di jejantas di laluan utama, Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah -Jasin (AMJ), berhampiran Masjid Al-Azim, Peringgit. - Foto Rasul Azli Samad

MBMB arah turun papan iklan 'KTHXBYE'

MELAKA: Sebuah syarikat pengeluar makanan ringan di negeri ini diarah menurunkan papan iklan gergasi yang memaparkan perkataan singkatan bahasa Inggeris, ‘KTHXBYE’ yang dipasang pada jejantas di laluan utama, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berhampiran Masjid Al-Azim, Peringgit di sini.

Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Mansor Sudin, berkata pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan arahan itu berkuat kuasa serta-merta, pagi ini.

“Tidak boleh iklan begitu. Sudah diarah diturunkan (papan iklan) serta-merta,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Tinjauan NSTP pagi tadi di lokasi itu bagaimanapun mendapati papan iklan berkenaan masih kekal di tempatnya, selain belum ada pihak kontraktor dilihat menurunkan papan iklan itu.

Terdahulu, dua keping gambar memaparkan penggunaan singkatan perkataan KTHXBYE dan maskot kartun pada papan iklan di jejantas itu yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini, menjadi viral di laman Facebook.

Tindakan itu mendapat kecaman netizen dan meninggalkan komen, antaranya bahasa hanya difahami oleh pengguna ‘WeChat’, yang didakwa merosakkan bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, maskot kartun biru ‘Selamat Datang Ke Kampung Saya’ di papan iklan pada jejantas sama di sebelah pula tidak mendapat maklum balas sama ada perlu diturunkan atau kekal di tempatnya.

Berita Harian X