Sabtu, 11 Mei 2019 | 2:29pm
TIMBALAN Datuk Bandar Golok, Che Rosdi Che Omar. - Foto Zulkifli Zainuddin

Segerakan bina benteng penahan banjir di Sungai Golok

SUNGAI GOLOK: Malaysia perlu menyegerakan pembinaan benteng penahan banjir di tebing Sungai Golok bagi mengelak bencana lebih buruk melanda Rantau Panjang.

Pandangan itu dikemukakan Timbalan Datuk Bandar Golok, Che Rosdi Che Omar berikutan kerajaan Thailand sedang membina benteng yang sama di sungai itu.

Beliau berkata, pembinaan benteng penahan banjir sepanjang 10 kilometer di Sungai Golok oleh kerajaannya sudah mencapai 30 peratus siap.

Katanya, benteng yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan itu bertujuan mengatasi masalah banjir di sekitar Golok setiap kali musim tengkujuh.

"Pada pandangan saya, apabila benteng di sebelah Thailand siap, ia menyebabkan banjir yang melanda Rantau Panjang akan lebih buruk berbanding sebelum ini. Justeru, kerajaan Malaysia diharap membina benteng yang sama bagi mengatasi masalah itu.

"Walaupun sedar kesan buruk (banjir) akan berlaku (akibat pembinaan benteng), kerajaan Thailand perlu meneruskan projek ini demi kebaikan kira-kira 10,000 penduduk di 10 kampung sekitar Sungai Golok," katanya ketika ditemui di sini.

Mengulas tragedi letupan bom di kawasan Selatan Thailand baru-baru ini, Che Rosdi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan tentera bagi memberi jaminan keselamatan kepada pelancong terutama dari Malaysia yang mengunjungi pekan itu untuk beli belah.

Katanya, kerajaan Thailand sentiasa mengambil berat keselamatan penduduk dan pelancong tanpa mengira agama dan bangsa walaupun beberapa insiden letupan bom berlaku baru-baru ini.

"Dari segi penyeludupan, kita meminta pihak berkuasa Malaysia supaya menjaga tebing Sungai Golok bagi mengatasi aktiviti penyeludupan berlaku, terutama pada musim perayaan Aidilfitri.

"Walaupun musim panas baru-baru ini menyebabkan Sungai Golok semakin cetek, pihak berkuasa Thailand terus mengetatkan kawalan di sempadan supaya tiada pihak mengambil kesempatan melakukan penyeludupan," katanya.

Berita Harian X