Sabtu, 11 Mei 2019 | 9:02pm
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg. - NSTP/L Manimaran
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg. - NSTP/L Manimaran

Sarawak sedia dahulukan RM1 bilion baikpulih, naiktaraf sekolah daif

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia mendahulukan bayaran RM1 bilion secara berperingkat kepada Kerajaan Pusat bagi menampung kos baikpulih dan menaiktaraf sekolah daif di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan bersama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung perkara itu, termasuk mengenalpasti mekanisme pelaksanaannya.

“Formula itu sedang dilaksanakan dan untuk pembayaran pertama, kita akan menyalurkan RM300 juta, diikuti pembayaran kedua (RM300 juta) dan pembayaran ketiga berjumlah RM400 juta. Keseluruhannya, RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

“Malah, kita sudah menyediakan cek,” kata ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2019, di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak, berkata kerajaan negeri mahu memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan rakyat dan tidak mahu tanggungjawab itu diserahkan kepada Kerajaan Pusat semata-mata.

Malah, atas sebab itu, beliau menubuhkan Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Sarawak bagi mendokong usaha berkenaan.

“Dengan adanya kementerian itu, kita boleh menyalurkan peruntukan untuk pembangunan pendidikan di Sarawak, selain peruntukan Persekutuan dan terbabit secara langsung dalam penggubalan dasar serta pentadbiran,” katanya - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X