'Rumah tua' berwajah baharu menjelang Aidilfitri

Ahad, 12 Mei 2019 @ 1:26 PM
KETUA Menteri Melaka, Adly Zahari (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada warga emas, Khatihah Md Amin (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat Membaik Pulih Rumah Usang DUN Bukit Katil di Kampung Bukit Pulau, Bukit Baru. -NSTP/Khairunisah Lokman

MELAKA: Sebuah keluarga di Kampung Bukit Pulau, Bukit Baru, di sini, boleh meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah tahun ini apabila ‘rumah tua’ mereka yang usang sebelum ini, berwajah baharu.

Jika sebelum ini, rumah kayu milik Khatijah Md Amin, 72, mengalami kerosakan di beberapa bahagian, termasuk bumbung, dinding dan lantai, kini semuanya berubah baharu apabila Lembaga Perumahan Melaka (LPM) membantu membaik pulih kediaman berkenaan.

Kerja baik pulih itu membabitkan bumbung zink yang rosak, menggantikan kayu dinding, lantai, jenang, pintu dan tingkap, mengecat, pembersihan sekitar rumah serta sumbangan peralatan elektrik dan barangan dapur dengan kos keseluruhan sebanyak RM24,845.

Ketika ditemui, Khatijah menyatakan syukur dan berterima kasih kepada LPM yang sudi membantu ‘menyolek’ rumahnya itu.

“Alhamdulillah, ada juga yang memahami keadaan mak cik yang tidak mampu nak membaiki kerosakan rumah, walaupun saya mempunyai anak namun mereka juga ada keluarga dan tanggungan mereka sendiri.

“Apabila dipilih menerima bantuan daripada LPM, memang saya terharu,” katanya selepas menerima kunjungan daripada Ketua Menteri, Adly Zahari sempena perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LPM membaiki kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Bukit Baru, di sini, semalam.

Selain Khatijah, rumah berkenaan didiami lima anaknya iaitu Razihah Abd Rahim, Mohd Halim, Mohd Syukor, Umar Akhbar dan Ali Akhbar.

Setiap kali Aidilfitri, tetamu Khatijah terpaksa menjamu selera juadah hari raya secara bergilir kerana ruangan yang sempit, namun ia tidak mungkin berlaku pada tahun ini.

“Pada Aidilfitri pertama hingga ketiga, tidak kurang 200 sanak saudara saya akan berkumpul di rumah ini dan mereka terpaksa bergilir untuk menjamu selera kerana tiada ruang atau meja yang boleh mereka duduk serentak.

“Namun, Alhamdulillah tahun ini suasana itu akan berubah sepenuhnya dan kami boleh duduk menjamu selera bersama-sama,” katanya.