X
Isnin, 13 Mei 2019 | 12:24pm
Abdul Kadir Abdullah (kanan) dan Sam Mahat melakukan amal jariah memasak bubur lambuk di Masjid Tok Janggut, Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah. - Foto Hassan Omar
Abdul Kadir Abdullah (kanan) dan Sam Mahat melakukan amal jariah memasak bubur lambuk di Masjid Tok Janggut, Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah. - Foto Hassan Omar

Empat warga emas sediakan bubur lambuk sepanjang Ramadan

ALOR GAJAH: Usia warga emas, tidak menghalang empat lelaki membanting tulang menyediakan bubur lambuk setiap hari selama 25 hari sepanjang Ramadan kali ini.

Bermula 2 Ramadan atau 7 Mei lalu, Abdul Kadir Abdullah, 71, Abdul Aziz Hitam, 71, Md Nasir Jawadi, 64, dan Sam Mahat, 63, melakukan amal jariah memasak bubur lambuk setiap hari hingga 31 Mei ini, di perkarangan Masjid Tok Janggut, Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, dekat sini.

Mereka yang masing-masing bersara daripada sektor awam dan tentera, meluangkan masa lapang dengan menyiapkan pelbagai bahan untuk menghasilkan bubur lambuk.

Sudah melakukannya buat tahun ketiga, Abdul Kadir berkata, berbeza dengan masjid lain, kebanyakannya menghasilkan bubur lambuk hanya pada hujung minggu, sebaliknya dia dan rakannya memerah kudrat untuk menghasilkan bubur lambuk lazat dan enak selama 25 hari.

“Mulai 2 Ramadan lalu, kami mula memasak dan Insya-Allah kalau dipanjangkan umur, kami akan menamatkannya pada 31 Mei ini, menjadikan 25 hari berturut-turut masjid ini menyediakan bubur lambuk percuma kepada orang ramai.

“Sekali masak, kami gunakan 15 kilogram (kg) beras, 2.5 kg daging dan pelbagai rempah ratus yang kalau tidak disukat dengan betul akan menyebabkan bubur lambuk bukan setakat tidak sedap, malah cepat basi,” katanya, ketika ditemui di masjid itu, hari ini.

Abdul Kadir Abdullah, 68, (kanan) menuang bubur lambuk ke dalam plastik dengan dibantu sukarelawan Radzi Isa di Masjid Tok Janggut, Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah. - Foto Hassan Omar
Abdul Kadir Abdullah, 68, (kanan) menuang bubur lambuk ke dalam plastik dengan dibantu sukarelawan Radzi Isa di Masjid Tok Janggut, Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah. - Foto Hassan Omar

Sam pula berkata, mereka mula menghiris bawang, mencincang daging dan pelbagai lagi kerja seawal jam 10 pagi, dan mula memasak dua jam kemudian, malah lazimnya semua bahan masakan itu mampu menghasilkan 350 bungkus bubur lambuk.

“Selepas solat Asar, jemaah masjid dan orang ramai yang melalui jalan hadapan masjid ini mula mengambil bubur lambuk sambil menghulurkan infak ke dalam tabung khusus untuk menghasilkan bubur lambuk yang disediakan pihak masjid,” katanya.

Bekas anggota tentera itu berkata, biasanya, bubur yang terkenal dengan rasanya yang lemak dan masin itu selesai diagihkan kepada orang ramai tidak sampai sejam.

Setiap kali selesai memasak dan mengagihkan bubur lambuk, keempat-empat warga emas itu tersenyum riang kerana selain mengumpulkan pahala yang berganda pada bulan mulia, mereka menikmati kepuasan memberikan khidmat kepada anggota masyarakat pada usia meniti senja.

Berita Harian X