Isnin, 13 Mei 2019 | 4:51pm
PENGERUSI Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye (tengah) bergambar bersama wakil sekolah pada Majlis penyerahan sumbangan kerusi dan meja di SJK(C) Han Ming, Puchong. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGERUSI Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye (tengah) bergambar bersama wakil sekolah pada Majlis penyerahan sumbangan kerusi dan meja di SJK(C) Han Ming, Puchong. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

6 sekolah dibantu Yayasan Eco World

PUCHONG: Sebanyak lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan satu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) menerima sumbangan kerusi dan meja belajar baharu daripada Yayasan Eco World.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sebanyak 560 set kerusi meja bernilai RM62,000 diagihkan kepada semua sekolah terpilih mengikut keperluan masing-masing.

Katanya, antara sekolah yang terpilih adalah SMKJC Yoke Kuan, Sekinchan (120 set); SJKC Yak Chee, Puchong (80 set); SJKC Taman Rashna, Klang (80 set); SJKC Yit Ying Wah, Kapar (100 set); SJKC Yit Khwan, Tanjung Karang (30 set) dan SJKC Han Ming, Puchong (150 set).

“Setiap tahun, RM5 juta diperuntukkan bagi membantu kira-kira 3,000 pelajar dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tanpa mengira latar belakang, agama mahu pun kaum.

“Selain itu, sehingga hari ini, RM752,000 dibelanjakan yayasan untuk membantu menggantikan perkakasan sekolah yang rosak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kerusi dan Meja kepada sekolah terpilih di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Eco World, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Philip Mathews serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eco World, Datuk S Rajoo.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata menerusi Program Bantuan Pelajar (SAP), yayasan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang kurang bernasib baik dengan hasrat mengekalkan anak-anak dari semua bangsa di sekolah.

“Sehingga kini, 3,000 pelajar di Kuala Lumpur, Selangor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor dan Sabah sudah dibantu di bawah program ini.

“Dengan bajet RM5 juta setahun itu, diharap SAP dapat membantu pelajar secara holistik termasuk keperluan kelengkapan persekolahan baharu dan mengatur makanan harian di sekolah serta bayaran tuisyen,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X