Selasa, 14 Mei 2019 | 9:49am
Gayah bersama Asrul di Kampung Alor Bakat, Bachok. - NSTP/Nor Amalina Alias

Demi mu anakku

BACHOK: Seorang ibu sanggup mengorbankan masanya demi menjaga anaknya yang menghidap penyakit sindrom down sejak lahir.

Gayah Mamat, 68, rela mengasingkan diri daripada dunia luar untuk sentiasa bersama dengan anaknya, Mohd Asrul Hafiz Mahmood, 28, di dalam rumah di Kampung Alor Bakat, di sini.

Warga emas itu hanya keluar rumah seketika bagi membeli keperluan harian dan makan minum, selebihnya menghabiskan masa di dalam rumah demi keselamatan Asrul yang tidak boleh berdikari.

“Bila nak keluar, saya terpaksa kurung anak sekejap di rumah, kalau nak pergi jauh, saya bawa dia naik kereta peninggalan suami yang dipandu seorang penduduk.

“Kalau Asrul buat perangai, saya tak dapat keluar rumah dan kami terpaksa berlapar atau makan apa yang ada,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Bakat, di sini.

Gayah berkata, rumahnya juga dikelilingi pagar besi di setiap penjuru rumah kerana anaknya suka merosakkan barang selain turut makan apa yang ada di depan matanya termasuk daun kering atau kertas.

“Hati ibu mana tak sedih apabila terpaksa kurung anak, tapi demi keselamatan dia, saya terpaksa berbuat demikian. Malah hidup kami dua beranak hanya berlegar sekitar rumah ini saja,” katanya.

Rumah dikelilingi pagar besi kerana Asrul suka merosakkan barang selain turut makan apa yang ada di depan matanya termasuk daun kering atau kertas. - NSTP/Nor Amalina Alias

Katanya, sebelum ini dia dibantu arwah suami, Mahmood Awang Mat, 80, sebelum suaminya meninggal dunia akibat penyakit tua pada Disember lalu.

“Sejak itu, saya dan anak hanya bergantung pada simpati penduduk kampung yang sudi membantu membeli keperluan harian atau membawa anak ke klinik jika sakit.

“Anak saya seorang lagi hasil perkahwinan terdahulu juga turut membantu meringankan beban kami selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

“Paling sedih bila anak sakit, sekarang Asrul sakit gigi dan saya terpaksa beli ubat tahan sakit, jika tidak dia akan menjerit dan menangis sepanjang hari.

“Saya banyak kali fikir bila saya mati siapa yang akan jaga Asrul, itu yang buat saya sedih, tapi saya serah segalanya pada Allah,” katanya yang mempunyai penyakit darah tinggi.

Berita Harian X