Selasa, 14 Mei 2019 | 3:49pm
Suasana sebahagian penumpang berbuka puasa di dalam gerabak Keretapi Negeri Sabah (KNS) ketika dalam perjalanan balik dari Kota Kinabalu ke destinasi masing-masing di sekitar kawasan Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut dan Beaufort. - Foto Rafiqah Dahali

Gerabak kereta api 'lokasi tetap' buka puasa

KOTA KINABALU: Sekali-sekala berbuka puasa atau ‘bersungkai’ di dalam kenderaan kerana tidak sempat sampai ke rumah dari tempat kerja, bukan pengalaman asing bagi kebanyakan umat Islam.

Namun, pengalaman berbeza bagi penumpang tetap Keretapi Negeri Sabah (KNS) yang ulang-alik ke Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut dan Beaufort apabila mereka hanya berbuka puasa di dalam gerabak kereta api hampir sepanjang Ramadan, kecuali pada hari cuti atau hujung minggu.

Malah, ada penumpang bertahun-tahun melalui rutin itu setiap Ramadan berikutan jadual kereta api bertolak pada jam 5.30 petang dari Stesen Sembulan, di sini, biasanya tiba di lima destinasi terbabit selepas waktu berbuka puasa.

Penjawat awam dari Papar, Hamizah Senor, 45, berkata beliau menjadi pelanggan tetap KNS sejak lebih 10 tahun lalu dan sudah biasa berbuka puasa bersama-sama penumpang Islam lain di dalam kereta api ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Beliau yang bertugas di Jabatan Tanah dan Ukur Sabah berkata, kereta api menjadi pengangkutan pilihan kerana kedudukan stesen berhampiran pejabat dan tambang murah, iaitu hanya RM1.85 ke Papar berbanding RM5 sehala jika menaiki bas.

“Oleh itu, saya lebih suka menaiki kereta api sejak belum berkahwin hinggalah sudah ada anak kini walaupun terpaksa berbuka puasa di dalam gerabak.

Suasana sebahagian penumpang berbuka puasa di dalam gerabak Keretapi Negeri Sabah (KNS) ketika dalam perjalanan balik dari Kota Kinabalu ke destinasi masing-masing di sekitar kawasan Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut dan Beaufort. - Foto Rafiqah Dahali

“Lagipun bagi saya, menaiki kereta api lebih selamat dan tenang berbanding memandu sendiri atau menaiki bas,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan, tambang perkhidmatan KNS dari ibu negeri tidak berubah sejak lebih 10 tahun lalu, iaitu RM1.85 ke Papar, Kimanis (RM2.70), Bongawan (RM3.20), Membakut (RM3.75) dan Beaufort (RM4.80), membabitkan jarak keseluruhan kira-kira 90 kilometer.

Kebanyakan penumpang tetap perkhidmatan itu adalah penjawat awam yang bertugas di beberapa jabatan negeri dan Persekutuan berhampiran Stesen Sembulan, di sini.

Kakitangan Jabatan Air Sabah (JANS), Arifin Mudin, 32, yang balik ke Membakut, berkata beliau menggunakan perkhidmatan KNS sejak sembilan tahun lalu dan menganggap pengalaman berbuka puasa di dalam kereta api sebagai istimewa.

“Berbuka puasa di dalam kereta api bersama rakan yang juga menaikinya setiap hari, memang sangat istimewa dan menyeronokkan.

“Saya akan singgah membeli juadah di bazar Ramadan sekitar Sembulan atau Putatan terlebih dahulu untuk dimakan pada waktu berbuka di dalam kereta api,” katanya.

Sementara itu, kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Ramli Tahir, 36, pula mengaku Ramadan tahun ini adalah pengalaman sulung beliau berbuka puasa di dalam kereta api selepas menjadi pelanggan tetap KNS untuk berulang-alik ke Beaufort sejak sembilan bulan lalu.

“Berbuka puasa di dalam kereta api tidak sama dengan berbuka puasa bersama keluarga di rumah atau restoran, namun bagi saya, ia satu pengalaman istimewa,” katanya.

Berita Harian X