Rabu, 15 Mei 2019 | 1:33pm

PPM bakal ambil alih 25 bot ronda PGA

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) bakal mengambil alih 25 bot ronda milik Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam usaha memantapkan lagi kawalan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata langkah itu berikutan aset terbabit kurang digunakan PGA kerana tidak ada perjawatan untuk mengendalikan bot ronda berkenaan.

“PGA ada bot tetapi tidak ada perjawatan.

“Insya-Allah, proses mengambil alih bot ronda itu akan selesai selepas sambutan Aidilfitri nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Markas PPM Sandakan, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan memperhebatkan rondaan menjelang Aidilfitri, terutama bagi mengekang kegiatan penyeludupan barangan dan manusia. - BERNAMA

Berita Harian X