Rabu, 15 Mei 2019 | 5:36pm
ORANG ramai berbuka puasa sambil menikmati pemandangan drawbridge di dataran Taman Syahbandar. - Foto Ghazali Kori

Iftar pemandangan 'drawbridge'

KUALA TERENGGANU: “Saya memang teringin sangat merasa suasana berbuka (puasa) di sini, dengan pemandangan ‘drawbridge’.

“Ternyata tak sia-sia saya datang dari Besut sejauh lebih 100 kilometer (km) bila dapat menyaksikan dan merasai sendiri suasana iftar di sini,” kata Busyairi Rahman, 23, dari Kampung Padang Baloh, Besut.

Busyairi ditemui ketika menanti waktu berbuka di dataran Taman Syahbandar di sini, semalam.

Kawasan di pinggir Sungai Terengganu itu menjadi tumpuan penduduk Terengganu sejak kebelakangan ini berikutan pemandangan menarik berlatarbelakangkan jambatan angkat atau ‘drawbridge’.

“Bila dapat tahu tempat ini dikunjungi orang, saya terus hubungi dua rakan baik yang tinggal di Kuala Terengganu, dan selepas berbincang kami setuju untuk berbuka puasa bersama-sama hari ini (semalam),” katanya.

Beliau datang bersama dua rakan, Mohd Imran Hakimi Ramlan dan Tengku Mohammad Amiruddin Ihsan Tengku Yunus, masing-masing berusia 24 tahun.

Bagi penuntut kolej, Nor Syafiqah Ramli, 20, pengalaman berbuka puasa di kawasan itu begitu mengujakan.

“Tak sangka di Terengganu ada kawasan menarik seperti ini, boleh dijadikan tempat pelancongan baru pula.

“Seronok sangat bila sampai, ternyata kawasan ini lebih comel (menarik) berbanding dalam gambar yang tular di media sosial,” katanya yang datang bersama lima rakan.

Berita Harian X