Khamis, 16 Mei 2019 | 3:02pm
DATUK Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii (tiga dari kiri) ketika merasmikan kempen ‘Tak Nak Straw’ di pekarangan Stadium Tertutup Miri, hari ini. - NSTP/Kandau Sidi
DATUK Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii (tiga dari kiri) ketika merasmikan kempen ‘Tak Nak Straw’ di pekarangan Stadium Tertutup Miri, hari ini. - NSTP/Kandau Sidi

MBM larang guna penyedut minuman plastik

MIRI: Selepas kejayaan mengurangkan penggunaan beg plastik, Majlis Bandaraya Miri (MBM) kini mengorak langkah dalam mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik sebagai usaha memulihara alam sekitar.

Datuk Bandar MBM, Adam Yii, berkata usaha itu diambil bagi mengelakkan penggunaan bahan berasaskan plastik yang dikenal pasti membahayakan ekosistem hidupan marin dan kesihatan manusia.

Beliau berkata, sebagai permulaan larangan itu dikuatkuasakan di semua gerai bazar Ramadan di Stadium Tertutup Miri, bertujuan mengurangkan penggunaan plastik.

“MBM sudah melaksanakan larangan penggunaan beg plastik khususnya setiap Sabtu dan Ahad. Sekarang kita melancarkan larangan menggunakan penyedut minuman plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran “Kempen ‘Tak Nak Straw’ di tapak Gerai Ramadan di pekarangan Stadium Tertutup Miri, hari ini.

Beliau berkata, pemilihan gerai bazar Ramadan dilakukan kerana pihaknya yakin dapat memujuk peniaga supaya mengelak menggunakan penyedut minuman plastik.

“MBM menerapkan amalan ‘memujuk’ masyarakat mengurang atau menghentikan penggunaan penyedut minuman secara beransur-ansur sehingga dapat menerima sepenuhnya larangan itu,” katanya.

Mengenai tempoh kempen itu beliau berkata, tiada had masa ditetapkan tetapi MBM berharap kempen itu berkesan untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian.

Sehubungan itu, beliau juga meminta peniaga gerai makanan di Miri sentiasa memastikan aspek kebersihan di tahap yang tinggi untuk kebaikan perniagaan mereka.

Berita Harian X