Khamis, 16 Mei 2019 | 5:32pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) menandatangani perasmian Digital Perak Corporation Holdings (DigitalPerak) di Perak Techno Trade Center,Ipoh. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif DigitalPerak,Prof Madya Dr Mohamad Tazli Azizan (dua kanan). - Foto Effendy Rashid
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) menandatangani perasmian Digital Perak Corporation Holdings (DigitalPerak) di Perak Techno Trade Center,Ipoh. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif DigitalPerak,Prof Madya Dr Mohamad Tazli Azizan (dua kanan). - Foto Effendy Rashid

Bekalan air ke Ayer Ganda, Gerik pulih

IPOH: Bekalan air untuk kira-kira 1,500 penduduk Kampung Ayer Ganda di Gerik yang terjejas sejak 9 April lalu berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda, kembali pulih sejak kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata bekalan itu disalurkan menerusi pemasangan paip sepanjang 11.5 kilometer dan pam penggalak yang baharu dari LRA di Lawin, juga terletak di Gerik, mulai Selasa lalu.

“Lembaga Air Perak (LAP) telah berjaya menyiapkan projek ini yang bernilai RM1.32 juta dalam tempoh lima minggu iaitu lebih awal daripada (tempoh tiga bulan) yang dirancang sebelum ini.

“Sehubungan itu, penduduk di Ayer Ganda dapat menjalankan ibadah puasa dan membuat persiapan Aidilfitri dengan selesa,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan Digital Perak Corporation Holdings (DigitalPerak) di sini hari ini.

Sebelum ini, LAP memberhentikan operasi LRA Ayer Ganda berkuat kuasa pada jam 6 petang 9 April lalu, selaras arahan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ia berikutan kenyataan SPAN yang menyatakan kekesalan dengan tindakan LRA Ayer Ganda yang terus beroperasi walaupun terjejas dengan pencemaran arsenik.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago, dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan mula mengesan pencemaran itu pada 8 Januari lalu, sebelum arahan dikeluarkan kepada LAP pada 14 Januari untuk menutup LRA berkenaan jika operator air negeri itu gagal mengatasinya.

Beliau dipetik sebagai berkata, laporan susulan Kementerian Kesihatan pada Februari dan Mac masih mengesan kandungan arsenik dalam air terawat, manakala LAP tetap meneruskan operasi LRA yang membekalkan air terawat kepada lebih 1,500 penduduk Kampung Ayer Ganda.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari mengesahkan pencemaran arsenik berlaku di sungai berkenaan.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal menegaskan pencemaran logam berat itu kurang daripada 0.01 miligram, iaitu rendah berbanding piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus air terawat LRA Sungai Ganda adalah selamat.

Berita Harian X