Ahad, 19 Mei 2019 | 1:37pm
Aizat (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim dan asnaf sekitar Port Dickson sempena program Iftar Ramadan bersama anak-anak yatim di King's Char Kuey Teow, Batu 4, Port Dickson. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria

Iftar bersama 300 anak yatim, asnaf

PORT DICKSON: Seramai 300 anak-anak yatim dan asnaf sekitar Port Dickson diraikan dalam satu majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan duit raya anjuran Kings Char Kuey Teow (KCKT) di Batu 4, Port Dickson semalam.

Pengarah Urusan KCKT, Aizat Zulhailie Abu Bakar, berkata program yang tahun kelima diadakan kali ini ada sedikit kelainan kerana turut disertai 78 penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Program meraikan anak yatim ini setiap tahun kita meraikan mereka tetapi kali ini ada sedikit kemeriahan dengan adanya kolaborasi bersama penuntut UniKL.

“Program bermula awal dengan memasak bubur lambuk di Masjid Bagan Pinang dan sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk habis diagihkan kepada pengguna jalan di depan Restoran KCKT dalam masa sejam sahaja.

“Acara lain ialah tazkirah Ramadan dan permainan kanak-kanak secara santai oleh penuntut UniKL sebelum majlis iftar dan penyampaian sumbangan duit raya dari kami di KCKT dan juga rakan-rakan peniaga di sekitar Port Dickson,” kata usahawan dan pemilik perniagaan Aizat Global Sdn Bhd ini.

Katanya, program seperti ini bukan untuk bermegah-megah tetapi bagi menggembirakan orang-orang yang serba kekurangan terutama anak yatim dan asnaf menjelang hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kalau dulu hanya kerjasama saya bersama rakan-rakan perniagaan sahaja tetapi kini dengan kolaborasi bersama penuntut UniKL dengan program yang lebih teratur seperti pengedaran bubur lambuk kepada orang ramai.

“Alhamdulillah, kerjasama seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa kerana kami di KCKT akan terus menjadikan program seperti ini sebagai acara wajib setiap tahun,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Dekan UniKL, Dr Mohd Zulkhairi Abdul Rahim berkata, program bersama KCKT ini adalah lanjutan dari program sebelum ini ketika mereka (KCKT) mencipta rekod di Malaysia Book Of Record (MBOR) apabila memasak 1,000 pinggan Char Kuey Teow dalam masa 47 minit.

“Di sini kami melihat kesungguhan dan iltizam syarikat milik anak muda yang boleh dikatakan agak berjaya. Di samping itu, penuntut kami dapat belajar sesuatu yang baru bagaimana mereka boleh berjaya.

“Sebelum itu mereka (penuntut) membuat pelbagai tugasan dalam mencari dana bagi menyumbang untuk program ini dan sebanyak RM9,780 dapat dikumpulkan dan diserah kepada Aizat Global Sdn Bhd bagi menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Hadir sama, Pensyarah yang juga Penyelaras Kokurikulum UniKL, Intan Norjahan Azman.

Berita Harian X