Isnin, 20 Mei 2019 | 3:14pm

Jambatan angkat dibuka untuk percubaan 2 Jun

KUALA TERENGGANU: Jambatan angkat atau ‘draw-bridge’ yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu, akan mula dibuka kepada orang ramai untuk tempoh percubaan dari 2 hingga 17 Jun sempena Aidilfitri.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk A Rahman Yahya, berkata projek jambatan terbabit kini dalam proses terakhir bagi memastikan kelancaran perjalanan apabila dibuka nanti.

“Selepas tamat tempoh percubaan, ia akan ditutup semula untuk kita melihat balik operasinya. Kemungkinan jambatan ini akan dibuka sepenuhnya pada penghujung bulan depan.

“Kerja akhir sedang giat diusahakan, termasuk pemasangan papan tanda, untuk memastikan kelancaran perjalanan apabila dibuka nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Pembukaan jambatan angkat itu dijangka mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang sering dihadapi pada musim perayaan di bandar raya ini.

Pembinaan jambatan unik itu adalah sebahagian daripada projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan kos RM248 juta, dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di tanah air serta Asia Tenggara.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan serta boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal, bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (tiga dari kiri) meninjau jambatan angkat (draw-brige) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. - NSTP/Imran Makhzan
Berita Harian X