Selasa, 21 Mei 2019 | 10:29am
JAUJAN Sambakong (kanan) ketika hadir di Majlis Pelancaran Program Jelajah Ramadan Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Kepayan. - Foto Malai Rosmah Tuah

Rakyat semakin yakin pentadbiran Warisan, PH - Jaujan

KOTA KINABALU: Selepas setahun di bawah pentadbiran Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Pakatan Harapan (PH), kedudukan kerajaan negeri semakin kukuh berikutan peningkatan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan baharu meneruskan pembangunan negeri dan negara.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong, berkata keyakinan rakyat semakin beralih kepada kerajaan baharu sejajar langkah pembaharuan yang dilaksanakan dalam pelbagai aspek.

Katanya, walaupun kerajaan berdepan pelbagai kesukaran selepas mengambil alih pentadbiran negeri, tumpuan terhadap program pembangunan dan pemulihan ekonomi tidak terjejas, sekali gus meyakinkan rakyat terhadap usaha yang dilaksanakan kerajaan sekarang.

“Kita baru kira-kira setahun mengambil alih kerajaan dan memulihkan ekonomi negeri dan negara. Ia memang bukan sesuatu yang mudah, namun kita dapat mengembalikan keyakinan rakyat dan melaksanakan program pemulihan ekonomi yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melancarkan Program Jelajah Ramadan Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah 2019 di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar KKMM, Shakib Ahmad Shakir; Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Nor Yahati Awang dan Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata pertukaran kerajaan adalah perkara lumrah dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

“Soal kerajaan atau jawatan tiada yang kekal kerana kita mengamalkan sistem demokrasi. Apa yang penting ialah kita berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie dalam teks ucapannya yang dibacakan Jaujan, berkata kerajaan negeri menggalakkan amalan turun padang agensi kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjelajah ke pelusuk kampung.

Menerusi program itu, katanya, pelbagai maklumat di peringkat akar umbi seperti masalah dihadapi rakyat dapat diketengahkan untuk tindakan pihak berkaitan.

“Saya juga berharap RTM melalui pelbagai medium penyiaran dapat membantu kerajaan negeri dan semua menteri Kabinet untuk menyebarkan visi dan misi kerajaan baharu serta kementerian masing-masing.

“Langkah ini membolehkan rakyat mengetahui secara jelas perancangan dan program yang dirangka untuk membangunkan tahap sosio ekonomi rakyat dan negeri keseluruhannya,” katanya.

Menerusi program itu, RTM Kota Kinabalu memilih Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad, Ranau sebagai destinasi jelajah yang julung kali diadakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti untuk manfaat kira-kira 40 penghuni rumah kebajikan itu.

Ia termasuk aktiviti gotong-royong membaik pulih asrama dan pendawaian elektrik dengan bantuan pelajar Akademi Binaan Malaysia (ABM), membaiki sistem perparitan, memasang lampu jalan, kipas, menyediakan almari dan rak buku serta menggantikan tikar asrama.

Berita Harian X