X
Selasa, 21 Mei 2019 | 10:24pm
PENGERUSI Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago. - NSTP/Saddam Yusoff
PENGERUSI Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago. - NSTP/Saddam Yusoff

Siasatan punca paip bocor siap dalam tempoh sebulan

CYBERJAYA: Siasatan punca paip pecah di projek pembinaan Lebuhraya Pihak West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) Banting-Taiping pada pada 5 Mei lalu, dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata pihaknya sudah membentuk jawatankuasa teknikal peringkat tertinggi minggu lalu membabitkan lima pakar dalam bidang berkaitan.

Jawatankuasa itu turut membabitkan wakil Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana kejadian itu disebabkan banyak faktor sehingga siasatan selesai.

“Sekiranya siasatan itu mendapati ada pihak melakukan kesalahan, tindakan undang undang mahkamah akan diambil agar pihak bersalah bertanggungjawab atas kejadian itu," katanya pada majlis berbuka puasa SPAN bersama media di sini malam ini.

Pada masa sama, Charles berkata, penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda di Gerik, Perak pada 9 April lalu masih diteruskan sehingga kerja pembersihan selesai dan disahkan selamat daripada pencemaran arsenik.

Katanya, operasi di loji berkenaan terpaksa dihentikan kerana air itu tidak selamat untuk diminum dan hanya boleh digunakan untuk mandi serta mencuci baju dan pinggan mangkuk.

Beliau berkata, penutupan loji itu adalah hasil laporan Kementerian Kesihatan pada Februari dan Mac lalu yang mengesan kandungan arsenik dalam air terawat di loji berkenaan serta tidak selamat untuk digunakan.

"Bagaimanapun, bekalan air untuk kira-kira 1,500 penduduk dapat dipulihkan melalui alternatif pemasangan paip sepanjang 11.5 kilometer dan pam penggalak yang baharu dari LRA di Lawin, mulai Selasa lalu.

"Susulan kejadian itu, SPAN telah mengarahkan Jabatan Kesihatan untuk memeriksa tahap air di sungai berkenaan termasuk di kawasan Kuala Kangsar bagi mengesan sekiranya terdapat kandungan arsenik dalam air terawat," katanya.

Berita Harian X