Rabu, 22 Mei 2019 | 12:15am
SULTAN Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah (tengah) berkenan bersalaman dengan jemaah yang hadir pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Kedah di Masjid Al-Falah Felda Sungai Tiang. - Foto BERNAMA

Sultan Kedah berangkat ke majlis sambutan Nuzul Quran

PENDANG: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah malam ini berkenaan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Kedah di Masjid Al-Falah, Felda Sungai Tiang, di sini.

Keberangkatan tiba baginda ke majlis itu disambut Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Turut menyambut ketibaan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh; Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEIK), Datuk Abdul Rahman Ismail.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Majlis dimulakan dengan solat Isyak berjemaah seterusnya disusuli dengan solat sunat tarawih dan sunat witir yang diimamkan Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Kota Setar Mohamad Fidaiy Zainal Abidin.

Majlis kemudian diteruskan dengan ceramah berkaitan Nuzul Al-Quran yang disampaikan Pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Roslan Che Ros.

Majlis diakhiri dengan santapan moreh bersama jemaah yang hadir sebelum baginda berangkat meninggalkan majlis.

Kira-kira 1,000 orang hadir memeriahkan majlis yang berakhir pada 10.30 malam.

Malam Nuzul al-Quran adalah malam 17 Ramadan yang al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk membawa rahmat seluruh alam.

Surah al-Quran pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah Surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5. - BERNAMA

Berita Harian X