Rabu, 22 Mei 2019 | 11:50am
Hayati Alli, 35, (kanan) bersama pekerjanya Chrismawati Asintu, 35, bertungkus lumus menyiapkan tempahan baju raya di Kedai Jahit Asnuri, Kampung Likas. - Foto Edmund Samunting

'Harga kampung' tarik perhatian pelanggan

KOTA KINABALU: Upah RM40 bagi sepasang baju kurung yang masih mengikut ‘harga kampung’ antara faktor Kedai Jahit Asnuri di Kampung Likas, di sini sering menjadi pilihan orang ramai menjelang Aidilfitri.

Pemiliknya, Hayati Alli, 35, kadar upah yang rendah itu menyebabkan beliau menerima lebih banyak tempahan tahun ini, dengan keseluruhannya 600 pasang pakaian perlu disiapkan sebelum Syawal menjelma.

“Untuk Aidilfitri kali ini, saya menerima tempahan 500 pasang baju kurung pelbagai rekaan bersama 100 pasang baju Melayu yang perlu disiapkan segera.

“Upah RM40 untuk baju kurung biasa adalah harga paling murah diberikan dan pelanggan cukup selesa dengan kadar itu kerana tidak membebankan,” katanya

Hayati berkata, walaupun `harga kampung’ itu sudah tidak lagi sesuai seiring dengan perkembangan semasa, termasuk faktor harga barang, namun beliau tetap akur terhadap permintaan pelanggannya.

“Bagi pelanggan, mereka tetap beranggapan kedai yang beroperasi di kawasan kampung perlu ikut `harga kampung’. Maka, untuk menjaga hati pelanggan, saya ikutkan saja dan kebanyakannya adalah pelanggan setia.

“Bagaimanapun, untuk pakaian moden, harga ditentukan mengikut reka bentuk atau jenis fesyen diminta, selain caj tambahan akan dikenakan kepada pelanggan yang menghantar pakaian di saat akhir menjelang lebaran,” katanya.

Menjelang Hari Raya Puasa, beliau dan pekerjanya akan bertungkus lumus menyiapkan tempahan baju raya pelanggan sehingga terpaksa beroperasi sehingga lewat malam.

“Antara cabaran yang kami terpaksa lalui termasuk melakukan kerja lebih masa iaitu bekerja sehingga lewat malam untuk menyiapkan tempahan pakaian pelanggan.

“Secara purata, kami dapat menyiapkan antara 30 hingga 50 pasang pakaian sehari. Biasanya, tempahan akan ditutup dua minggu terakhir sebelum Syawal kerana ketika itulah kami sedang sibuk bertungkus lumus menyiapkan pakaian pelanggan,” katanya.

Hayati berkata, kedai jahit itu adalah perniagaan keluarga yang diusahakan ibunya sejak 1995 dan kini sudah berkembang sehingga berjaya membuka tiga cawangan lain iaitu di Inanam dan Putatan.

“Dengan tenaga kerja lebih 30 orang, saya yakin kami dapat menyiapkan semua tempahan pakaian termasuk di cawangan lain yang diuruskan oleh ibu di Inanam dan adik lelaki di Putatan,” katanya.

Sementara itu, Chrismawati Asintu, 35, yang bekerja di kedai jahit itu sejak enam tahun lalu mengakui dua bulan sebelum Ramadan mereka sudah mulai sibuk kerana menyiapkan pakaian pelanggan.

“Bermula saja Ramadan, kami mula bekerja seawal jam 8 pagi sehingga jam 9 malam kerana pelu menyiapkan pakaian pelanggan sebelum menjelang Hari Raya.

“Setiap hari saya boleh menyiapkan sehingga lima pasang pakaian dan walaupun dalam keadaan berpuasa, ia bukan penghalang untuk mereka menyiapkan semua tempahan pakaian pelanggan,” katanya.

Berita Harian X