Jumaat, 24 Mei 2019 | 12:36pm
MENTERI Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah pada sidang media selepas Mesyuarat Kewarganegaraan Bil 4 dan 5 2019 di bangunan Baitul Makmur, Kuching, petang semalam. - Foto Hazreen Mohamad

Sarawak terima 708 kes permohonan kewarganegaraan sejak 2016

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri menerima 708 kes permohonan kewarganegaraan sejak Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Sarawak ditubuhkan pada 2016.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata kes permohonan berkenaan diterima bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, pihaknya membincangkan 26 kes terbabit pada mesyuarat bulanan, semalam, untuk dimajukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya.

Daripada jumlah itu, katanya, 13 kes diterima daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kuching; JPN Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu dan JPN UTC Miri (masing-masing tiga); JPN UTC Kuching dan JPN Niah (masing-masing dua); serta JPN Sarikei, JPN Kapit dan JPN Limbang (masing-masing satu).

“Permohonan kewarganegaraan bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan adalah untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia secara daftaran bagi individu berumur di bawah 21 tahun dalam keadaan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kewarganegaraan Bil 4 dan 5 2019 di bangunan Baitul Makmur, di sini, petang semalam.

Yang turut hadir, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti negeri, Datuk Francis Harden Hollis; serta Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus.

Fatimah berkata, pihaknya sudah mengadakan 22 mesyuarat sejak penubuhan jawatankuasa khas itu, dan berharap pihak KDN dapat memberi keputusan permohonan dalam tempoh tidak begitu lama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penganugerahan taraf kewarganegaraan Malaysia adalah satu anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan kepada individu yang menghadapi masalah kewarganegaraan sebelum ini.

“Antara faktor menyumbang kepada masalah kewarganegaraan ialah perkahwinan tidak teratur, kanak-kanak dilahirkan sebelum ibu bapa berkahwin dan ibu mereka adalah warga asing.

“Justeru, bagi mengelakkan masalah seperti ini timbul, pasangan perlu mengambil langkah sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kanak-kanak tanpa kerakyatan dibenarkan ke sekolah, mereka perlu membayar yuran warga asing yang mungkin menjadi kesulitan bagi keluarga berpendapatan rendah.

“Kanak-kanak terbabit memerlukan status kewarganegaraan untuk perkara seperti mendapatkan bantuan persekolahan, melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, permohonan biasiswa atau pinjaman pendidikan, mendapatkan pekerjaan dan bantuan kebajikan,” katanya.

Berita Harian X