Jumaat, 24 Mei 2019 | 7:00pm
Mohamed Nizam (belakang lima kanan) bersama sebahagian anak anak Genius Kurnia selepas menyampaikan sumbangan baju raya kepada mereka di Jakel Mall, Kuala Lumpur. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Berkongsi rezeki rahsia kejayaan Jakel

KUALA LUMPUR: Sentiasa berkongsi rezeki dan kegembiraan kepada golongan memerlukan, menjadi rahsia kejayaan Kumpulan Jakel sejak penubuhannya 35 tahun lalu di negara ini.

Menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sepanjang bulan Ramadan tahun ini, Kumpulan Jakel sudah menyampaikan sumbangan pakaian kepada golongan kurang upaya, anak yatim, ibu tunggal, golongan asnaf dan warga emas.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel berkata, uniknya program CSR ini, penerima sumbangan diberi peluang memilih sendiri pakaian yang mereka gemari.

Katanya, sumbangan pakaian adalah daripada rekaan terkini dan material berkualiti, sebagaimana amalan memberi sedekah berilah yang terbaik dan gembirakan hati orang lain.

Sokongan orang ramai terhadap Jakel antara pemangkin untuk Jakel terus menyumbang kepada golongan memerlukan supaya nikmatnya sama-sama dirasai.

“Alhamdulillah sepanjang Ramadan ini, sebanyak 600,000 pasang pakaian sudah terjual, lebih separuh daripada sasaran Jakel tahun ini iaitu satu juta pasang pakaian raya untuk dijual.

“Di Jakel Mall sahaja, kira-kira 600,000 pengunjung yang memilih gedung pakaian kami untuk berbelanja, ini membuktikan semakin banyak kita memberi, semakin banyak pulangannya kepada kita semula.

“Bertepatan dengan tema Jakel Barulah Raya, kami mahu semua penerima merasai kemeriahan menyambut Aidilfitri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pakaian kepada 100 kanak-kanak autisme yang terpilih daripada Persatuan Ibu Bapa dan Ahli Intervensi (PIBI) di Jakel Mall, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBI, Dr Aamir Abdullah Abdul Kareem Khadaied, berkata pihaknya memilih 100 kanak-kanak austime daripada 400 kanak-kanak golongan itu yang ditempatkan di Pusat Genius Kurnia, Sentul.

“Keutamaan diberi kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 bagi meringankan beban keluarga.

“Dalam suasana ekonomi hari ini, sumbangan sedemikian amatlah dihargai dan akan meninggalkan kesan dihati golongan yang memerlukan.

“Pihak kami berterima kasih atas sumbangan dari Jakel kerana sudi meluangkan masa dan menggembirakan kanak-kanak austime ini.

“PIBI juga mengalu-alukan semua bentuk sumbangan khususnya dalam usaha untuk menaik taraf Pusat Genius Kurnia bagi menampung lebih ramai penghidap austime, ada 200 lagi permohonan penghidap austime yang masih menunggu peluang untuk memasuki pusat ini,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada penerima sumbangan, Melati Azman, 40, berkata, dia dan keluarganya berterima kasih kepada Jakel apabila anaknya yang berusia enam tahun terpilih menerima sumbangan.

“Kali pertama anak saya berpeluang datang beramai-ramai ke pasar raya ini dan memilih pakaian baru yang disukainya sendiri.

“Ia adalah pendedahan dan pengalaman bermakna yang akan dikenang oleh anak saya kerana agak sukar dia dibawa keluar untuk berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Berita Harian X