Sabtu, 25 Mei 2019 | 6:29pm
Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Datuk Mohd Yusof Mohd Isa
Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Datuk Mohd Yusof Mohd Isa

Gangguan bekalan air di Taiping pulih dalam dua hari

IPOH: Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di daerah wilayah barat Taiping berikutan tanah runtuh berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Trong, petang semalam dijangka pulih sepenuhnya dalam masa dua hari.

Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Datuk Mohd Yusof Mohd Isa, berkata antara kawasan terbabit adalah seluruh Trong, Changkat Jering, Bukit Gantang, Bukit Berapit, Changkat Ibol serta kawasan berhampiran.

“Kejadian yang berlaku ketika hujan lebat itu mengakibatkan paip yang menyalurkan air mentah dari loji berkenaan patah dan gagal berfungsi.

“Pihak LAP telah mengambil langkah sewajarnya bagi membaik pulih kerosakan selain melakukan pengezonan semula dengan membekalkan air dari LRA Air Terjun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Yusof, langkah itu membolehkan beberapa kawasan seperti Pekan Trong untuk kembali menerima bekalan air.

“Bagaimanapun terdapat kira-kira 2,300 akaun pengguna masih mengalami gangguan bekalan membabitkan penduduk di Changkat Ibol, Bukit Gantang, Kampung Kubu serta Kampung Pauh dan dijangkakan bekalan air ke kawasan itu akan kembali pulih dalam tempoh dua hari,” katanya.

Mohd Yusof berkata, pihak LAP akan menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas dengan menggunakan lori-lori tangki sehingga keadaan kembali pulih. – BERNAMA

Berita Harian X