Isnin, 27 Mei 2019 | 2:20pm
AIDI Ismail (tiga kanan) menyampaikan pek makanan sahur kepada anggota yang bertugas malam pada Program Singgah Sahur di Dataran Batu Buruk. - Foto Zaid Salim

Elak kesesakan, jangan letak kenderaan di jambatan angkat

KUALA TERENGGANU: Polis menasihatkan orang ramai tidak meletakkan kenderaan mereka di atas jambatan angkat atau ‘drawbridge’ sebaik laluan menghubungkan bandar ini dengan Kampung Seberang Takir itu dibuka kepada orang ramai Ahad ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ia bagi mengelak berlaku kesesakan aliran trafik di kawasan berkenaan yang kini menjadi laLuan utama khususnya penduduk Kampung Seberang Takir untuk ke bandar ini.

“Drawbridge atau jambatan angkat ini yang pertama di Malaysia dan pasti menjadi tarikan baharu sama ada daripada rakyat negeri ini, pelancong tempatan atau luar untuk merakam gambar.

“Jadi, orang ramai diminta mematuhi arahan pihak berkuasa supaya tidak memberhentikan kenderaan di atas jambatan untuk merakam gambar bagi mengelak kesesakan lalu lintas,” katanya selepas menyerahkan pek makanan sahur kepada anggota pada program Singgah Sahur di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini.

Program bagi menghargai anggota dan pegawai yang bertugas malam itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Allaudeen Abdul Majid; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos; Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali.

Mengulas lanjut, Aidi berkata, bagi memastikan aliran trafik di laluan jambatan itu lancar, pihaknya akan melakukan rondaan berkala, selain menempatkan anggota trafik di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin berada dan merakam gambar di kawasan jambatan boleh meletakkan kenderaan di kawasan dibenarkan dan berjalan kaki menaiki jambatan itu.

“Dalam keghairahan merakamkan gambar, orang ramai diminta menitikberatkan keselamatan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Berita Harian X