Selasa, 28 Mei 2019 | 11:46am
SEORANG amil menerima bayaran zakat fitrah di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang. - Foto Asrol Awang

Bayar zakat fitrah di tempat tumpuan

KUANTAN: Tidak hanya di masjid dan surau, umat Islam boleh menunaikan zakat fitrah di tempat tumpuan ramai seperti di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, pusat membeli-belah dan pasar raya.

Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Mohd Ali Mat Dasir, berkata kehadiran amil di lokasi berkenaan bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah mereka.

Katanya, kebiasaannya, umat Islam akan mengunjungi masjid, surau dan pejabat Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang bagi membayar zakat fitrah, tapi kini mereka boleh berbuat demikian di tempat tumpuan ramai.

“Dengan adanya amil dilantik MUIP di kawasan tumpuan ramai, ia akan memudahkan umat Islam untuk membayar kerana di penghujung Ramadan, jumlah pembayaran akan meningkat.

“Tahun ini, MUIP melantik 954 amil untuk memudahkan urusan pembayaran,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini kadar zakat fitrah kekal RM7 iaitu berdasarkan harga beras di Pahang.

“Kadar ini kekal untuk tempoh 11 tahun berturut-turut sejak 2009,” katanya.

Sementara itu, seorang pesara, Hamid Kamaruddin, 64 dari Balok, berkata, kehadiran amil di tempat tumpuan ramai sangat membantu memudahkan urusan pembayaran zakat fitrah.

“Saya memuji inisiatif dilakukan amil dan pihak MUIP sendiri untuk memastikan umat Islam menunaikan zakat fitrah, sekali gus membantu golongan yang memerlukan di negeri ini,” katanya.

Berita Harian X