Rabu, 29 Mei 2019 | 4:16pm
Ahmad Faizal (tiga dari kanan) pada majlis penyerahan juadah Aidilfitri 2019 Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan Persatuan Amal Isteri Harapan (KASIH) Perak di Ipoh, hari ini. - NSTP/Muhaizan Yahya

Tiada rumah dirobohkan, tiada Orang Asli dianiaya di Perak - MB

IPOH: Kerajaan Perak menolak dakwaan kononnya hak masyarakat Orang Asli, terutama penduduk di Kampung Tasek Cunex di Gerik, dinafikan hanya kerana penggunaan perkataan `menceroboh’ terhadap mereka yang meneroka tanah kerajaan di situ.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata sudah menjadi kelaziman apabila sesuatu kawasan atau tanah dikenal pasti sah milik kerajaan negeri dan ada pihak yang meneroka atau mengusahakannya, maka perkataan digunakan dalam konteks berkenaan adalah `menceroboh’.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada penduduk Orang Asli yang dizalimi manakala tiada penempatan baharu yang diteroka masyarakat berkenaan di tanah kerajaan di situ, yang dirobohkan oleh kerajaan negeri.

“Saya tidak mahu gaduh dengan orang berhubung isu ini, tetapi bagi pihak kerajaan ada beberapa `term’ (terma) yang digunakan iaitu apabila tanah itu memang milik kerajaan, `term’ yang kita gunakan adalah ‘ceroboh’.

“Namun, pada masa sama apakah tindakan yang pernah dibuat oleh kerajaan di dalam menangani perkara seperti Orang Asli yang buka kampung baharu di kawasan hutan simpan dan sebagainya, apakah kerajaan ada ambil tindakan menahan mereka, mengambil tindakan undang-undang dan sebagainya?

“Jika ‘term’ (menceroboh) yang menjadi satu perkara yang boleh anggap (kerajaan negeri) terlalu zalim, saya sendiri tidak faham,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan juadah Aidilfitri 2019 Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan Persatuan Amal Isteri Harapan (KASIH) Perak di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia, Tijah Yok Chopil, semalam, bahawa hak masyarakat itu terus dinafikan walaupun sudah berlaku pertukaran kerajaan negeri dan Persekutuan.

Tijah dilaporkan berkata, pihaknya terkejut dengan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti Ahmad Faizal yang didakwa berkata tindakan sewajarnya harus dilakukan terhadap mereka yang menceroboh tanah kerajaan tanpa kebenaran, kerana Perak bukan sebuah negeri `koboi’.

Sebelum ini, penduduk Kampung Tasek Cunex mencetuskan kontroversi apabila melakukan hadangan jalan bagi menghalang kayu balak yang diusahakan atas tanah kerajaan negeri, dibawa keluar, sambil menuntut kawasan seluas 12,456 hektar di situ diwartakan sebagai tanah adat Orang Asli.

Ahmad Faizal berharap pihak yang sering memperjuangkan isu berkenaan agar memahami keadaan yang sebenarnya berlaku di kawasan berkenaan, dan bukannya menuduh kerajaan bersikap zalim semata-mata menggunakan perkataan `menceroboh’.

“Adakah hari ini rumah-rumah di Kampung Tasek Cunex yang telah dirobohkan pihak kerajaan sehingga penduduk Orang Asli tidak tempat untuk berteduh? Adakah itu yang berlaku ataupun sebenarnya kerajaan semata-mata cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat negara ini tanpa mengira kaum.

“Saya mengambil tindakan sebagai menunaikan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak, sudah tentu saya tidak dapat membuat keputusan yang boleh memuaskan hati 100 peratus semua rakyat.

“Oleh kerana jika ada rakyat yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan, tentunya saya akan menjadi sasaran kerana saya adalah Menteri Besar Perak, jadi saya faham, saya percaya beliau tiada agenda peribadi terhadap diri saya tetapi beliau mensasarkan kepada Menteri Besar Perak, itu yang saya harus terima,” katanya.

Berita Harian X