Khamis, 30 Mei 2019 | 11:12am
NOOR Azizi Ismail (empat kanan) bersama Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) Azran Fitri Abdul Rahim (tiga kanan) beramah mesra bersama pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa KEMUDI bersama UMK di Rumah Wartawan, Taman Sari. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
NOOR Azizi Ismail (empat kanan) bersama Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) Azran Fitri Abdul Rahim (tiga kanan) beramah mesra bersama pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa KEMUDI bersama UMK di Rumah Wartawan, Taman Sari. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

UMK lantik 2 penuntut jadi pemerhati senat universiti

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan melantik dua penuntutnya sebagai pemerhati terlebih dulu ke senat universiti selepas Aidilfitri nanti.

Naib Canselornya, Prof Dr Noor Azizi Ismail, berkata pihaknya mengambil pendekatan itu kerana pelantikan secara langsung penuntut sebagai Ahli Senat memerlukan semakan perlembagaan sedia ada.

“UMK pada dasarnya tidak ada masalah melantik penuntut sebagai Ahli Senat, namun setiap universiti mempunyai perlembagaan masing-masing.

“Pegawai undang-undang kita sedang meneliti perlembagaan universiti untuk dilihat dari sudut perundangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Bersama UMK di Rumah Wartawan, Taman Sari, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Dr Zaliman Sauli dan Presiden KEMUDI, Azran Fitri Abdul Rahim.

Noor Azizi berkata demikian selepas diminta mengulas langkah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melantik dua penuntutnya sebagai Ahli Senat, manakala dua lagi sebagai pemerhati, sekali gus melakar sejarah menjadi universiti awam pertama berbuat demikian.

Noor Azizi berkata, pihaknya sudah berbincang dan memaklumkan perkara berkenaan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Pada mesyuarat diadakan baru-baru ini, dua pemerhati dalam kalangan MPP iaitu Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua dilantik,” katanya.

Beliau berkata, keberadaan penuntut dalam Senat akan memberi peluang mereka memahami perkara dibincangkan, selain dapat menyuarakan pandangan sendiri.

“Di dalam Senat perkara dibincangkan berkaitan soal akademik dan ia akan memberi kebaikan kepada penuntut kerana tidak ada apa boleh disembunyikan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X