Khamis, 30 Mei 2019 | 12:34pm
MUHAMMAD Farid menjaga lemang yang dibakar di jalan Kampung Jenalik, Changlun. - Foto Sharul Hafiz Zam
MUHAMMAD Farid menjaga lemang yang dibakar di jalan Kampung Jenalik, Changlun. - Foto Sharul Hafiz Zam

Teruskan resipi lemang diwarisi bapa

JITRA: Usia muda tidak menghalang seorang pemuda mengusahakan jualan lemang yang diwarisi daripada bapanya sejak tujuh tahun lalu.

Sudah menjadi rutin Muhammad Farid Kasim, 26 meninggalkan kerja hakikinya sebagai pembancuh air untuk menjual lemang di jalan Kampung Jenalik, Changlun di sini sepanjang Ramadan dan Syawal.

Katanya, setiap hari pada jam 8 pagi, dia akan mula memproses santan, pulut serta buluh lemang untuk dibakar dan dijual pada jam 2 petang hinggalah lewat petang atau malam.

“Selepas mengambil alih perniagaan ini dari arwah bapa, saya berusaha untuk memastikan resipi yang diperturunkan bapa dikekalkan dan paling penting arwah mengajar saya untuk menjaga kualiti lemang agar mampu bertahan lebih lama apabila berada di tangan pelanggan.

“Saya hanya akan menggunakan beras pulut yang berkualiti dan kemudian akan dibasuh lebih tujuh kali bagi memastikan lemang tidak mudah basi, cuma untuk memastikan lemang lebih sedap dan berlemak saya menambah jumlah santan iaitu 4.5 kilogram (kg) santan bagi setiap 10kg beras pulut berbanding hanya 2.5kg santan sebelum ini,” katanya yang berasal dari Kampung Sungai Mati, Langgar, Alor Setar.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, setiap 10kg beras pulut akan menghasilkan kira-kira 40 hingga 50 batang lemang dan ia akan dijual mengikut saiz iaitu daripada RM7 hingga RM12 sebatang.

MUHAMMAD Farid menjaga lemang yang dibakar di jalan Kampung Jenalik, Changlun. - Foto Sharul Hafiz Zam
MUHAMMAD Farid menjaga lemang yang dibakar di jalan Kampung Jenalik, Changlun. - Foto Sharul Hafiz Zam

Katanya, setiap hari sebanyak 50 batang lemang akan dijual manakala jualan akan meningkat seminggu sebelum Hari Raya iaitu kira-kira purata 500 batang sehari.

“Adik bongsu saya Muhammad Arif,19, bersama seorang lagi pekerja dapat membantu saya di gerai, setiap hari kami bersama-sama memproses untuk sediakan lemang sehinggalah ia habis dijual, pada minggu terakhir Ramadan atau menjelang Syawal, kami akan menjual sehingga jam 12 tengah malam.

“Alhamdulillah, lemang yang dijenamakan sebagai Lemang Lebuhraya ini sudah dikenali ramai dan saya mempunyai pelanggan tetap, malah sepanjang Syawal pula, saya akan sibuk menyediakan tempahan untuk majlis rumah terbuka,” katanya.

Farid berkata hasil keuntungan jualan lemang lebih RM10,000 itu akan dikongsi bersama termasuk membantu adik beradiknya yang lain.

Katanya, dia turut akan memastikan segala keperluan ibunya Rosiah Samsudin, 60, dapat ditunaikan manakala selebihnya akan disimpan untuk kecemasan selain menampung keperluan bulanan berikutan gajinya sebagai pembancuh air hanya kira-kira RM1,200 sebulan.

Berita Harian X