Jumaat, 31 Mei 2019 | 9:41am
JAMBATAN angkat atau ‘drawbridge’ di Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Jambatan angkat bawa limpahan ekonomi kepada rakyat - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU: “Negeri Terengganu ada, negeri awok ada dok?”

Itu antara usikan kebanyakan individu di media sosial apabila merakam gambar berlatarbelakangkan jambatan angkat atau ‘drawbridge’ pertama di Asia Tenggara yang dibina di Kuala Terengganu, meskipun masih belum boleh dilalui dan hanya ditinjau dari jauh.

Bagaimanapun, keadaan itu akan berubah mulai Ahad ini sehingga 17 Jun apabila kerajaan negeri membukanya untuk percubaan.

Keterujaan melihat secara dekat pastinya bukan sahaja membabitkan masyarakat sekitar tetapi juga mengundang kebanjiran pelancong sempena Aidilfitri dan cuti sekolah.

Sebagai bandar warisan pesisir air, kewujudan jambatan itu di Kuala Terengganu pastinya akan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata meskipun jambatan sepanjang 638 meter yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu dibuka untuk menguji prestasi sistem operasinya, sambutan orang ramai pasti luar biasa apatah lagi sebelum ini telah menjadi tumpuan ramai.

Susulan itu, apabila dibuka sepenuhnya nanti, beliau menjangkakan kedatangan pelancong ke Terengganu meningkat lebih 20 peratus bagi tahun pertama dan mampu memberi manfaat kepada kawasan sekitar seperti Seberang Takir dan Gong Badak.

Beliau berharap rakyat Terengganu mengambil peluang daripada pertambahan kedatangan pelancong itu dengan menceburi bidang perniagaan dan penyediaan perkhidmatan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Kami (kerajaan negeri) sedang pertimbangkan sekarang ini untuk mewujudkan kawasan-kawasan yang menarik seperti gerai yang bukan sahaja menceriakan kawasan pesisir pantai yang berdekatan tetapi turut mempromosi produk tempatan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Wisma Darul Iman, di sini.

Idea pembinaan jambatan angkat yang mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat itu berdasarkan jambatan angkat London Tower Bridge di London.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu akan menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Ahmad Samsuri berkata, jambatan angkat itu bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu malah seluruh Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat, berkata sebanyak 80 peratus daripada kira-kira 250 pekerja yang terbabit dalam projek pembinaan jambatan angkat adalah pekerja tempatan.

“Mereka termasuk penyelia, pengurus pembinaan dan pekerja pembinaan,” katanya.

Projek ini menggunakan kepakaran dan kemahiran kontraktor tempatan dan luar negara, memandangkan terdapat bidang kepakaran dan bahan-bahan yang tidak terdapat di pasaran tempatan.

Jambatan angkat adalah sebahagian daripada projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre, sebuah projek pembangunan bandar bersepadu yang menggabungkan ciri-ciri unik warisan Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, dengan adanya jambatan yang bakal menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara itu, rakyat perlu lebih kreatif dan inovatif dalam memajukan industri pelancongan negeri.

“Mendirikan satu bentuk fizikal kita boleh bina dalam masa enam bulan, tetapi untuk memberi satu kefahaman dan menukar cara berfikir yang lama kepada yang lebih kreatif memerlukan proses berterusan dan mengambil masa.

“Saya pernah jumpa dengan satu peniaga keropok yang dilihat sangat tradisional, saya tanya kenapa tidak dikembangkan dalam bentuk automasi dan pembungkusan yang lebih baik supaya dapat eksport ke luar Malaysia, berbanding buat keropok di belakang rumah sahaja, tetapi katanya anak-anak tidak berminat untuk meneruskan perusahaan itu,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif perlu diambil termasuk menyediakan ruang kerja yang lebih baik bagi menarik golongan muda menceburi industri tradisional Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri bersedia membantu rakyat yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan dan penyediaan perkhidmatan melalui pelbagai platform, termasuk pemberian dana tabung usahawan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), katanya. - BERNAMA

Berita Harian X